- Iklan -
Berita

Najib sudah dapat RM114 juta, apakah wang itu dikembalikan kepada Umno?

Bekas perdana menteri itu menerima wang tersebut beberapa hari sebelum beliau gagal menangguhkan penyelesaian tunggakan cukai sebanyak RM1.6 bilion.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak. Gambar: Bernama

Wang tunai sebanyak RM114 juta yang dirampas kerajaan di premis kediaman mewah Pavillion Residence di Kuala Lumpur pada 2018 sudah diserahkan semula kepada bekas perdana menteri Najib Razak, MalaysiaNow difahamkan.

Difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulangkan semula wang tersebut pada 17 jun lalu, selepas sebulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggugurkan permohonan pelucuthakan wang tunai sebanyak RM114 juta oleh kerajaan yang didakwa disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Najib berkata beliau menyimpan wang tunai RM114 juta tersebut untuk Umno.

Pada Mei lalu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada 1MDB.

Antara lain, pendakwaan mendakwa wang tunai RM 114 juta tersebut adalah sebahagian daripada AS$971 juta (sekitar RM2.9 bilion) yang dikatakan diterima Najib dari 1MDB antara 2011 hingga 2013.

Polis memuatkan pelbagai barangan yang disita termasuk wang tunai, barangan kemas, dan beg berjenama dalam siasatan pengubahan wang Najib Razak di sebuah kondominium mewah ke dalam trak di Kuala Lumpur pada 18 Mei 2018. Gambar: AP

Susulan keputusan mahkamah itu, pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk memutuskan kepada siapa wang tunai tersebut perlu dipulangkan.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun berkata ia adalah terpulang kepada kliennya untuk membahagikan wang tersebut antara dia dan Umno.

Sumber dalaman Umno memberitahu MalaysiaNow Najib mungkin sudah memulangkan semula wang tersebut kepada parti, namun tidak dapat mengesahkannya.

Wang tersebut dipulangkan kepada Najib hanya beberapa hari sebelum beliau gagal dalam percubaan untuk menangguhkan penyelesaian RM1.69 bilion tunggakan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Najib turut memfailkan permohonan untuk menggugurkan notis muflis terhadap beliau selepas gagal menyelesaikan tunggakan cukai, mengatakan ia adalah sebahagian konspirasi untuk merosakkan karier politiknya.

Dalam serbuan susulan tumbangnya pentadbiran Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018, pihak berkuasa menyita beberapa barangan mewah termasuk barang kemas, jam tangan dan beg berjenama yang bernilai ratusan juta ringgit dipercayai berkait dengan skandal 1MDB.

Pada Julai 2018, Mahkamah Tinggi menyabitkan kesalahan dan memutuskan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana 1MDB dan SRC International.

Kes tersebut akan didengar di Mahkamah Rayuan bulan ini.