- Iklan -
Berita

3 tahanan bolos pusat kuarantin berjaya diberkas semula

Polis masih memburu seorang lagi tahanan warga Filipina yang bolos.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Empat tahanan berkenaan dipindahkan dari Balai Polis Penampang ke PKRC itu selepas disahkan positif Covid-19 sebelum didapati melarikan diri. Gambar: Bernama
Empat tahanan berkenaan dipindahkan dari Balai Polis Penampang ke PKRC itu selepas disahkan positif Covid-19 sebelum didapati melarikan diri. Gambar: Bernama

Polis memberkas semula tiga daripada empat tahanan, yang melarikan diri daripada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri, petang semalam.

Ketua Polis Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan iaitu dua warga Filipina Mohd Diyazmir Razif Rudyaz, 20, dan Salman Arip, 19, serta seorang warga tempatan Arippian Abdul, 27, ditahan di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Menggatal, Kota Kinabalu, pada 5.45 petang.

“Pada masa yang sama polis masih memburu seorang lagi tahanan yang bolos, seorang warga Filipina iaitu Mohd Rahman Basir, 24,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mohd Haris berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai tahanan berkenaan diminta untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 24 Julai lepas, empat tahanan berkenaan dipindahkan dari Balai Polis Penampang ke PKRC itu selepas disahkan positif Covid-19, sebelum mereka didapati melarikan diri daripada pusat kuarantin berkenaan pukul 3.30 pagi semalam.