- Iklan -
Berita

Sehari melawat haiwan ‘di zoo’ ketika pandemik

Seperti banyak aktiviti lain, kunjungan ke zoo juga turut dilakukan secara dalam talian.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Raihana Jasmine dan Muhammad Al Fatih menonton siaran langsung Zoo Taiping di laman Facebook. Program tersebut diadakan memandangkan tempat-tempat tarikan ditutup akibat PKP.
Nurul Raihana Jasmine dan Muhammad Al Fatih menonton siaran langsung Zoo Taiping di laman Facebook. Program tersebut diadakan memandangkan tempat-tempat tarikan ditutup akibat PKP.

Tarikan pelancongan dan pusat peranginan sememangnya terjejas akibat ketiadaan pelancong selepas pelaksanaan beberapa siri perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, namun kini lokasi pelancongan turut mengambil inisiatif menyediakan kandungan secara maya kepada orang ramai yang terpaksa berada di rumah bagi memberikan pengalaman yang pernah mereka alami sebelum Covid-19.

Inisiatif itu diambil oleh Jabatan Muzium Malaysia yang memaparkan beberapa siri pameran maya kepada orang ramai di portalnya.

Selain itu, safari maya turut dianjurkan Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo di Sandakan, Sabah bermula tahun lalu.

Zoo Taiping juga turut mengadakan pameran haiwan secara maya kepada orang ramai, namun mengambil selangkah ke depan dengan membuat siaran secara langsung di laman Facebook.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Pengarah Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus berkata siaran langsung itu merupakan evolusi daripada siri siaran video yang dilakukan pihak mereka ketika PKP tahun lalu.

“Tahun lepas, kita tidak membuat siaran langsung. Tetapi ketika PKP dilaksanakan semula, kita terfikir kenapa tidak buat sesuatu yang hampir sama dengan program tahun lepas. Kita putuskan untuk membuat siaran secara langsung dan kita mendapatkan peralatan yang secukupnya untuk tujuan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kevin berkata, siaran langsung itu yang bermula dua minggu lepas memaparkan buaya tembaga sebagai haiwan pertama yang “membintangi” siaran itu sebelum memaparkan Harimau Malaya pada siaran kedua.

“Untuk siaran langsung yang pertama, jumlah tontonan direkodkan berjumlah 70,000 pada hari siaran dan mencecah 200,000 ketika hari siaran tentang harimau. Memandangkan kita siar dan kekalkan video di Facebook, jumlah tontonan akan terus bertambah kerana orang ramai sentiasa menonton,” katanya.

Kevin berkata, pihaknya merancang untuk memperkenalkan haiwan bersaiz besar terlebih dahulu sebelum memaparkan spesis yang lebih kecil dan terancam.

Katanya, tujuan video langsung diadakan ialah bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi di zoo tersebut.

“Kita menjaga haiwan-haiwan ini. Zoo juga dalam keadaan baik. Selepas sahaja keadaan kembali normal, mereka boleh datang berkunjung ke Zoo Taiping,” katanya.

Siaran itu juga dijalankan bagi mengekalkan promosi dan keterlihatan zoo tersebut dalam minda orang ramai, sebagai persiapan untuk terus menerima pengunjung selepas pandemik berakhir.

Seorang pengunjung maya, Nurul Nafisah Mazlan berkata, program seperti itu sangat bermanfaat untuk anak-anaknya.

Seperti kanak-kanak lain, anak-anaknya tidak boleh keluar dan menghabiskan masa di dalam rumah.

“Saya dapat tahu (mengenai program siaran langsung) melalui saluran Telegram yang selalu mempromosikan tempat-tempat menarik dan program di tempat tersebut.

“Anak-anak memang seronok. Sebelum program bermula mereka kerap bertanya ‘sudah mulakah program?’.

“Bila start masing-masing teruja dengar pelatih haiwan bercakap. Bila camera tunjuk keadaan sekeliling zoo sampai jerit dan lompat,” katanya.

Program secara dalam talian itu katanya menjadi alternatif yang lebih baik berbanding siri kartun.

Ibu bapa juga katanya boleh sama-sama menonton dan mengajar nama-nama binatang.

Katanya, aspek teknikal juga penting untuk dijaga oleh penganjur bagi mengekalkan perhatian anak-anak.

“Siaran langsung Zoo Taiping sangat jelas, gambar terang dan suara jelas. Tiada ‘lagging’ ketika siaran,” katanya.

Nafisah yang juga ejen insurans itu berkata merancang untuk membawa keluarganya melawat Zoo Taiping selepas keadaan kembali normal.

Dalam pada itu, Kevin berkata antara maklum balas yang diterima pihaknya ialah permintaan untuk menukar hari siaran tersebut kepada hari Sabtu.

“Ini kerana terdapat anak-anak yang mempunyai sesi pembelajaran online pada hari Ahad di sesetengah negeri,” katanya.

Kevin berkata, dengan jumlah pengunjung dalam talian yang ramai itu juga, pihaknya buat pertama kali membuka ruang untuk orang awam memberikan sumbangan secara terus.