- Iklan -
Berita

PNBBC sokong TPM, Hishammuddin bantu kerajaan keluar dari krisis Covid-19

Ismail Sabri turut digesa percepatkan RCI Tabung Haji dan RCI buku Tommy Thomas selain kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional Shahidan Kassim.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional Shahidan Kassim.

Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memberi jaminan menyokong pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Luar Negeri, Hishammuddin Hussein dalam usaha memastikan negara dan rakyat keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Shahidan Kassim berkata, sokongan ahli-ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional terhadap pelantikan kedua-dua mereka tidak perlu dipertikaikan.

“Besar harapan kami agar timbalan perdana  menteri dapat membantu perdana menteri untuk terus memberikan fokus terhadap aspek pentadbiran negara, mempercepatkan proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok.

“Pada masa yang sama, kami menyeru agar semua pihak dalam Umno terus menyokong ahli-ahli Parlimen agar perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diberikan dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail memulakan tugas sebagai orang nombor dua kerajaan pada 9 Julai lalu.

Dalam pada itu, Shahidan turut menggesa ahli Parlimen Bera itu untuk menyegerakan dua suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung penjualan aset-aset Tabung Haji ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dan untuk menyiasat penyelewengan fakta buku tulisan “My Story: Justice in the Wilderness” bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Shahidan berkata, siasatan dan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang maut dalam satu insiden rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya pada 2018 juga perlu dipercepatkan oleh Ismail Sabri.

Ujarnya, ketiga-tiga isu itu berkait rapat dengan kepentingan awam dan keyakinan terhadap institusi kerajaan, kehakiman dan proses keadilan dalam negara.

Ahli Parlimen Arau itu turut mencadangkan agar sektor-sektor ekonomi di Perlis dibuka semula memandangkan negeri itu memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.