- Iklan -
Berita

Kasut berusia 104 tahun dijual dengan harga RM40,800 demi kelangsungan hidup

Kasut Converse Non Skid tersebut dikeluarkan pada tahun 1916.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengumpul kasut vintaj dan antik, Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, menunjukkan  kasut vintaj jenama Converse pertama di dunia berusia 104 tahun miliknya yang dilelong semalam kini sudah ‘dipinang’ oleh pembeli dengan harga RM40,800 ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jambu di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Jun, 2021. Gambar: Bernama
Pengumpul kasut vintaj dan antik, Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, menunjukkan kasut vintaj jenama Converse pertama di dunia berusia 104 tahun miliknya yang dilelong semalam kini sudah ‘dipinang’ oleh pembeli dengan harga RM40,800 ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jambu di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Jun, 2021. Gambar: Bernama

Demi kelangsungan hidup, seorang pengumpul kasut vintaj di Kota Bharu terpaksa melelong sepasang kasut Converse berusia 104 tahun miliknya, dan tidak menduga menerima bidaan tujuh individu yang berminat memiliki kasut edisi pertama tersebut dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dimuat naik ke laman media sosial.

Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, 31, berkata seorang daripada pembida tersebut, iaitu seorang lelaki dari Pahang, bersetuju dengan harga yang ditawarkan iaitu RM40,800, dan mereka menyelesaikan urus niaga semalam.

“Saya turut bersetuju memberikan tiga pasang kasut Converse yang dikeluarkan pada 1950, 1960 dan 1970 sebagai hadiah.

“Saya difahamkan beliau (pembida berjaya) juga seorang pengumpul barangan antik,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jambu, di Kota Bharu hari ini.

Bercerita lanjut, Azim berkata kasut yang dijual untuk dijadikan koleksi itu lengkap dengan sepasang seluar pendek yang dikeluarkan pada 1916 berserta pelindung lutut pemain bola keranjang.

Menyingkap sejarah kasut Converse tertua di dunia itu, lelaki berkenaan berkata beliau membeli kasut tersebut pada 2018 daripada sepasang suami isteri yang menetap di Amerika Syarikat.

“Mereka menghubungi saya selepas melihat hantaran laman Facebook saya tentang sejarah kasut vintaj. Pasangan tersebut terdesak memerlukan wang untuk menampung kos rawatan anak mereka,” katanya, menambah bahawa bagi pengumpul kasut vintaj, ia bukan sekadar kasut sebaliknya penyimpan sejarah.

Sehubungan itu beliau berharap pemilik baru kasut berkenaan akan turut menghargai nilai tinggi kasut Converse Non Skid tersebut.

Menurutnya, beliau bertindak menjual kasut tersebut bagi kelangsungan hidup kerana tidak dapat kembali ke Jepun untuk bekerja dalam sektor pelancongan akibat penularan pandemik Covid-19.

Semalam, hantaran yang dimuat naik oleh Azim berkenaan lelongan kasut itu tular menerusi Facebook dan menerima 7,000 perkongsian serta hampir 9,000 tanda suka.