- Iklan -
Berita

Henti sebar video tular komunikasi lucah babitkan kanak-kanak

Bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada masyarakat dan dikhuatiri menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan anak-anak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis di Mahkamah Bangi membawa dua pengguna Instagram, bagi memohon perintah tahan reman kerana disyaki melakukan komunikasi lucah melibatkan kanak-kanak bawah umur
Anggota polis di Mahkamah Bangi membawa dua pengguna Instagram, bagi memohon perintah tahan reman kerana disyaki melakukan komunikasi lucah melibatkan kanak-kanak bawah umur

Semua pihak diminta menghentikan penyebaran video melibatkan usahawan kosmetik yang didakwa membuat komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak di bawah umur.

Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara itu adalah bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada masyarakat dan dikhuatiri menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, pantaulah aktiviti harian anak-anak kita agar tidak terjebak dalam perkara ini. Apatah lagi pada ketika ini, gajet seperti telefon bimbit merupakan medium perhubungan dan alat komunikasi asas yang penting buat mereka khususnya ketika pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata usahawan itu perlu dikenakan tindakan kerana berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah membabitkan kanak-kanak menerusi video yang tular sejak 9 Jun lepas.

Katanya tindakan usahawan itu adalah salah di sisi moral masyarakat serta undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Zuraida turut menyeru semua pempengaruh supaya memanfaatkan medium itu sebaik mungkin dengan menyebarkan perkongsian maklumat bermanfaat terutama ketika Malaysia dan dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Beliau berkata inilah masanya untuk pempengaruh media sosial menasihati pengikut masing-masing untuk mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebagai usaha bersama memerangi wabak itu.