- Iklan -
Berita

MOF jelaskan mengapa sektor E&E kekal dibuka sepanjang ‘lockdown’

Sektor E&E menyumbang RM386 bilion atau 40% daripada eksport tahunan Malaysia, selain menyumbang perdagangan semikonduktor dunia sebanyak 7%.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan tahun lalu yang bakal membolehkan 20,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Gambar: Pexels
RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan tahun lalu yang bakal membolehkan 20,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Gambar: Pexels

Keputusan untuk memasukkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) dalam senarai sektor yang dibenarkan dibuka dalam tempoh perintah kawalan pergerakan skala penuh yang bermula esok adalah susulan peranan besar sektor itu yang menghasilkan ribuan komponen untuk operasi berterusan infrastruktur kritikal seluruh dunia, kata menteri kewangan hari ini.

Katanya, sektor E&E menyumbang RM386 bilion atau 40% daripiada eksport tahunan Malaysia, selain menyumbang perdagangan semikonduktor dunia sebanyak 7%.

“Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E. Sektor E&E menyumbang 40% (atau RM386 bilion) kepada eksport tahunan Malaysia, dan kira-kira 7% perdagangan semikonduktor global.

“Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan yang kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor yang kemudiannya akan dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan tahun lalu yang bakal membolehkan 20,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Penutupan sektor itu bermakna bekalan keperluan industri akan di seluruh dunia akan terjejas, sekali gus membuatkan pelabur lari dari Malaysia.

“Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0, apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, kerajaan akan memastikan kilang E&E mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tegas dengan had kehadiran fizikal sehingga 60%.

Dalam pada itu, kementerian kewangan berkata pendekatan menyeluruh sebagai sebuah negara penting dalam usaha mengatasi penularan wabak.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara mengumumkan sebanyak 17 sektor dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun untuk mengekang penularan wabak Covid-19.