- Iklan -
Berita

Patuhi SOP atau kelonggaran ditarik balik, pakar ingatkan tentang salah guna kebenaran bersenam

Ramai yang ambil kesempatan daripada kelonggaran SOP untuk benarkan aktiviti bersenam bagi bertemu rakan dan keluarga, pakar kesihatan berkata ini boleh menyebabkan larangan sepenuhnya terhadap aktiviti di luar rumah.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas majlis bandaran memantau SOP di Taman Tasik Shah Alam di Section 14. Gambar: Bernama
Petugas majlis bandaran memantau SOP di Taman Tasik Shah Alam di Section 14. Gambar: Bernama

Beberapa pakar kesihatan berkata semua aktiviti uar kawasan mungkin akan dilarang sama sekali sebagai amaran bagi yang masih ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP), menyalahgunakan kebenaran bersenam untuk bertemu rakan dan ahli keluarga.

Mereka juga menggesa masyarakat supaya memandang serius masalah ini sekali gus mematuhi semua SOP bagi mengelakkan penguatkuasaan langkah-langkah yang lebih ketat jika pelanggaran terus terjadi.

Di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini, orang ramai diizinkan melakukan aktiviti luar secara individu seperti berjalan kaki, berjoging dan berbasikal berbanding langkah PKP tahun lalu yang melarang sepenuhnya kegiatan tersebut.

Dr Raj Kumar Maharajah, yang mengetuai Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia berkata kerajaaan pada mulanya tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti luar sebelum ini sehingga organisasi-organisasi kesihatan dan doktor meminta kelonggaran PKP dibuat demi kesihatan fizikal dan mental orang ramai.

“Itulah sebabnya mengapa kerajaan benarkan joging dan berbasikal,” katanya.

Namun, tinjauan menunjukkan ramai yang salah guna kelonggaran tersebut untuk bertemu rakan atau ahli keluarga.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Sing memperingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan untuk aktiviti individu.

“Kerajaan memberikan kelonggaran ini hanya untuk satu alasan: supaya orang ramai yang terpaksa duduk di rumah dapat dapat bersenam.

“Tetapi ada syarat ketat, anda mesti patuhi penjarakan sosial,” katanya dan menambah ia mesti dipatuhi walaupun sesama ahli keluarga serumah.

Beliau berkata walaupun risiko penularan Covid-19 di ruang terbuka lebih rendah daripada kawasan tertutup, masih ada risiko dijangkiti virus jika orang ramai berada dalam jarak dekat antara satu sama lain.

Beliau turut berkata jika masih ramai yang ingkar, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk pelaksanaan SOP yang lebih ketat seperti PKP 1.0 tahun lalu iaitu larangan menyeluruh untuk semua aktiviti luar.

“Orang ramai harus patuhi SOP dan tidak salah guna kebenaran tersebut, jika tidak, kerajaan sekat nanti dan arahkan untuk duduk di rumah sahaja,” katanya.

Raj bersetuju berkumpul beramai-ramai di taman dan tepi kawasan tasik boleh meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

“Ada kemungkinan besar seseorang boleh menjadi kontak rapat atau pembawa virus, dan akhirnya sebarkan kepada orang lain pula,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada masalah ini adalah disebabkan orang ramai masih merasakan kesihatan dan kesejahteraan diri mereka adalah tanggungjawab kerajaan dan doktor.

Beliau berkata sikap ambil mudah terhadap perkara penting memainkan peranan utama mengapa masih ramai yang tidak mematuhi SOP.

“Inilah sebabnya mereka terus cari jalan untuk bergaul atau bertemu rakan atau ahli keluarga di taman, pada saat mereka tidak sepatutnya melakukan perkara itu.”