- Iklan -
Berita

Aktivis gesa ketelusan ditingkatkan berhubung aktiviti kewangan NGO

Jika tiada ketelusan, sebilangan NGO mungkin ditunggang demi keuntungan peribadi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Rayuan derma oleh beberapa NGO perlu dilihat dengan teliti dan diperiksa kerana wujud sebilangan NGO yang tidak jujur sekali gus membuat untung melalui NGO mereka. Gambar: AP
Rayuan derma oleh beberapa NGO perlu dilihat dengan teliti dan diperiksa kerana wujud sebilangan NGO yang tidak jujur sekali gus membuat untung melalui NGO mereka. Gambar: AP

Gesaan agar badan amal dan badan bukan kerajaan (NGO) mengamalkan ketelusan dalam  audit dan aliran tunai timbul ketika aktivis mengingatkan wujud segelintir organisasi tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada derma orang ramai sebagai keuntungan peribadi.

Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, pengasas bersama SCRUT dan Interepo sebuah penyedia perkhidmatan pangkalan data dalam talian berkata Bank Negara Malaysia membenarkan 30% daripada perolehan NGO untuk digunakan untuk kos pentadbiran termasuk gaji pengasas atau pengerusi organisasi.

“Ini bermaksud sebilangan NGO digunakan sebagai tempat kumpul untung bagi pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Inilah sebabnya mengapa kita melihat beberapa organisasi berusaha bersungguh-sungguh mengumpulkan dana sehingga sanggup keluarkan wang untuk iklan dalam talian, papan iklan dan iklan di media massa.”

Terdapat juga beberapa cara lain di mana NGO boleh membuat keuntungan dengan cara melantik pembekal berkait individu NGO tersebut.

“Sebagai contoh, anda umumkan ingin berikan pelitup muka kepada keluarga B40 di PPR. Anda cari orang untuk menderma. NGO anda membeli topeng muka dari anda dengan harga penuh,” kata Aliff, sambil menambah ini juga dapat dilakukan melalui pembekal proksi di mana mereka melakukan pakatan dengan pembekal.

Kaedah lain yang dilakukan bagi tujuan itu adalah dengan menjalankan program perniagaan atas nama wakaf atau amal.

Melalui kaedah ini, organisasi menyatakan 100% keuntungan daripada jualan syarikat akan disumbangkan kepada NGO yang dikendalikan oleh orang tertentu.

“Sebenarnya, orang itu sudah pun menetapkan gajinya sendiri di syarikat tersebut, yang boleh mencapai puluhan ribu.

“Hasilnya bahkan dapat menampung kos.

“Walaupun mereka dapat untung RM10 dan kemudian berikan balik RM10, ia masih dianggap untung 100%,” katanya.

Aliff turut menasihati orang ramai yang ingin memberikan sumbangan memeriksa laporan audit serta akaun pengurusan NGO itu terlebih dahulu, selain turut memeriksa bank dan juga penyata KWSP.

“Laporan audit adalah untuk mengesahkan pendapatan, keuntungan dan kerugian mereka. Akaun pengurusan pula adalah untuk mengesahkan perbelanjaan mereka secara terperinci, dan penyata bank pula bagi mengesahkan aliran tunai,” katanya.

“Penyata KWSP diperiksa bagi memastikan berapa banyak gaji yang diterima oleh kakitangan dan pengurusan mereka setiap bulan.”

Bantuan derma semakin meningkat selepas serangan ke atas Gaza yang menyaksikan ratusan warga Palestin terkorban selain ramai lagi kehilangan tempat tinggal.

Teo Ann Siang dari Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), sebuah organisasi yang banyak memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan berkenaan isu Palestin berkata organisasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mesti mengemukakan laporan audit berkala.

Menurutnya, organisasi yang diwakilinya, MyCARE menyerahkan laporan audit kepada SSM setiap tahun.

“Walaupun kerajaan mengizinkan 30% kutipan untuk kos operasi, kami hanya tetapkan sebanyak 15%. Sejak 2010, kami tidak pernah ambil lebih 10% setiap tahun.”

Teo berkata di Malaysia, peraturan mengenai NGO yang terlibat dalam kegiatan derma masih tidak ampuh dan kekurangan unsur ketelusan, dan bersetuju pengawasan kerajaan yang lebih ketat mesti dilakukan berhubung kegiatan kewangan mereka.

Sementara itu, Aliff mencadangkan supaya agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengembangkan laman sesawangnya untuk membolehkan orang ramai mengakses maklumat mengenai NGO yang berdaftar ketika ini, seperti inisiatif yang dilakukan SSM.

Dia berkata data tersebut mesti boleh diakses orang ramai.

“Sekiranya kita ingin menjadi negara maju, kita harus meningkatkan ketelusan demi integriti.

“Hal-hal yang kabur mengenai pengurusan adalah budaya zaman dulu,” tambahnya.

“Orang ramai harus tahu ke mana wang yang mereka sumbangkan disalur, dan organisasi pula perlu bertanggungjawab dengan setiap sen yang masuk ke dalam akaun mereka.”