- Iklan -
Berita

Lelaki di belakang tawaran vaksin percuma miliki sejarah janji tak tertunai

Vinod Balachandra Sekhar menjadi tajuk berita selepas publisiti meluas pengumuman derma dengan jumlah besar oleh syarikatnya bagi kerja-kerja kebajikan di seluruh dunia, namun kebanyakannya tidak pernah ditunaikan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Usahawan Vinod Balachandra Sekhar dilihat mesra dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Beliau secara terbuka menyokong cita-cita Anwar untuk menjadi perdana menteri.
Usahawan Vinod Balachandra Sekhar dilihat mesra dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Beliau secara terbuka menyokong cita-cita Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Persoalan timbul berhubung tawaran vaksin percuma daripada syarikat swasta selepas beberapa dakwaan bertentangan antara kumpulan perniagaan dengan kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Perkara ini timbul selepas Petra Group menegaskan tawarannya untuk mendapatkan bekalan 200,000 dos suntikan vaksin Sinovac dari China tulen, sehari selepas Khairy mendedahkan tiada pembelian vaksin lain selepas beliau menyemak dengan pembekal vaksin dari negara itu dan Pharmaniaga, syarikat pembekal ubat-ubatan yang dilantik kerajaan bagi pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Petra Group turut berkata pihaknya mengadakan perbincangan bersama Khairy semalam, beberapa jam selepas menteri itu menafikan beberapa dakwaan dari syarikat tersebut yang berkata kerajaan menolak tawaran bantuannya.

“Kami terangkan kepada Khairy, dalam perbincangan kami dengan kerajaan, kami tunjukkan syarikat mampu untuk membawa vaksin tersebut secara terus dan kami minta garis panduan mengenai cara-cara dan saluran yang betul untuk melaksanakan perancangan kami ini,” kata jurucakap Petra Group, William Stevenson tanpa menjelaskan sama ada vaksin tersebut sudah dibeli atau belum.

Terdahulu, Stevenson mendakwa pihak syarikat sudah mendapatkan “200,000 dos sebagai sebahagian khidmat kami kepada negara,” katanya dipetik dalam laman sesawang yang dikelola Petra Group.

MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan sama ada vaksin percuma yang ditawarkan Petra Group tersebut adalah tulen atau tidak wujud seperti yang didakwa oleh Khairy semalam.

Individu utama dalam syarikat tersebut, usahawan Vinod Balachandra Sekhar memiliki sejarah membuat publisiti besar-besaran berhubung tajaan untuk kebajikan namun gagal menunaikannya.

Daripada siasatan MalaysiaNow, sekurang-kurangnya dua kali pengumuman derma didapati kekal gagal ditunaikan oleh usahawan tersebut.

Vinod yang secara terbuka menyokong usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri pernah menjadi tajuk berita disebabkan publisiti besar-besaran tentang sumbangan besar yang akan diberikan syarikatnya untuk kerja kebajikan di seluruh dunia, daripada kelab bolasepak di Singapura hingga sumbangan pembinaan bangunan fakulti perubatan di universiti tertua di Scotland.

Pada 2010, akhbar Scotland The Scotsman melaporkan Vinod masih belum “memberikan sesen pun” kepada University St Andrews untuk membina fakulti perubatan baru walaupun sebelum itu mengumumkan akan menyumbangkan £8 juta.

Vinod Balachandra Sekhar menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 5 Mei lalu. Gambar: Facebook

Akhbar itu berkata, janji Vinod kepada universiti itu diumumkan “secara gilang gemilang” olehnya pada satu sidang media di Kuala Lumpur pada 2008, dan menambah jumlah itu merupakan “sumbangan terbesar pernah diberikan kepada universiti di Scotland, sikap dermawan yang akan menunjukkan era baru kerjasama antara Scotland dan Malaysia.”

“Pihak universiti akhirnya mendapatkan sumbangan dan dana lain untuk menyiapkan bangunan fakulti perubatan dan biologi yang secara rasminya akan dibuka bulan depan,” lapor The Scotsman.

Apabila dihubungi MalaysiaNow, jurucakap University of St Andrews berkata: “Sehingga kini, sumbangan masih belum diterima.”

MalaysiaNow sudah melihat dokumen menunjukkan universiti itu diberikan saham dalam syarikat Vinod, Green Rubber Global Limited, syarikat yang terlibat dalam mengitar semula getah.

Bagaimanapun, nilai saham itu tidak dapat dipastikan.

Sementara pada 2008, Vinod berjanji untuk membantu kanak-kanak yang terjejas disebabkan kemiskinan dan konflik di Afrika tetapi tidak pernah menunaikannya.

Dia berjanji untuk menderma sebanyak £2.5 juta kepada badan kebajikan Britian, Hopes and Homes for Children bagi tujuan itu, tetapi tidak pernah menunaikannya.

“Malangnya, Hope and Homes for Children tidak pernah menerima sumbangan itu,” kata jurucakap kepada badan kebajikan itu kepada MalaysiaNow melalui email.

Lebih dekat lagi dengan Malaysia, baru-baru ini Vinod menandatangani perjanjian untuk menaja sebuah kelab bolasepak di Singapura.

Dokumen bertarikh 2017 yang dilihat MalaysiaNow menunjukkan Petra Group bersetuju untuk membayar sejumlah S$150,000 dalam bentuk tajaan jersi kepada Hougang United Football Club.

MalaysiaNow bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada tajaan itu diberikan dan masih menunggu respons daripada kelab itu.

Vinod, 52, merupakan anak kepada BC Sekhar, yang diiktiraf sumbangannya dalam memajukan industri getah Malaysia.

Dalam laman sesawang syarikatnya, dia dikatakan sebagai pelopor yang “memulakan hubungan dengan negara bekas Soviet Union selepas negara itu berpecah.”

Antara “sumbangan” lain yang dinyatakan ialah “globalisasi pendidikan dan pendidikan kanak-kanak” di mana dia dijadikan felo Asia yang pertama dan termuda Kappa Delta Pi, Honors Society for Education berpusat di AS pada usia 23.

Laman sesawang itu turut mendakwa World Economic Forum menamakan Vinod sebagai “New Asian Leaders”.

Pada umur 40, ia berkata Vinod dianugerahkan Global Green Award daripada “Global Green USA for Green Rubber”.

“Dia merupakan yang termuda, satu-satunya dari Asia dan bukan warga AS ketiga, selepas Presiden Mikhail Gorbachev dan Giorgio Armani yang menerima anugerah itu,” tulis laman sesawang itu.

Akan tetapi tidak seperti bapanya, Vinod terlibat dalam beberapa kontroversi kewangan.

Pada 2005, Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya muflis berhubung hutang kepada beberapa syarikat berjumlah RM12.38 juta.

Semakan dengan Jabatan Insolvensi menunjukkan dia sudah tidak lagi diisytiharkan sebagai muflis baru-baru ini.

Dalam wawancara bersama saluran berita Astro Awani, Vinod memuji “rakan-rakannya” dalam kerajaan Pakatan Harapan, mempertahankan mereka daripada kritikan berhubung pelaksanaan perlahan reformasi yang dijanjikan.

“Apa yang mereka lakukan sangat besar. Anda mesti faham, kerosakan yang ditinggalkan adalah lebih besar daripada apa yang kita tahu. Ia memerlukan masa yang panjang untuk memperbetulkannya. Saya fikir mereka akan berjaya menyelesaikannya,” kata Vinod.

Walaupun tidak dikatakan penderma ini tidak akan menunaikan janji terbarunya untuk vaksin percuma, rekod lampau mereka adalah hal kepentingan awam kerana mahu melibatkan diri dengan program penting vaksinasi kebangsaan.