- Iklan -
Berita

Israel berdepan serangan balas paling sengit

Menurut pihak berkuasa, angka kematian di Gaza antaranya membabitkan 31 kanak-kanak selain 950 orang cedera.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Asap tebal selepas serangan udara tentera Israel di bandar Gaza. Gambar: AFP
Asap tebal selepas serangan udara tentera Israel di bandar Gaza. Gambar: AFP

Israel berdepan konflik semakin buruk berikutan keganasan berdarah di Tebing Barat berpunca dari pengeboman udara besar-besaran di Gaza dan rusuhan belum pernah terjadi antara orang Arab serta Yahudi.

Serangan di Tebing Barat yang disifatkan paling sengit sejak intifada kedua 11 tahun lalu yang menyebabkan 11 mangsa menjadi korban tembakan tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Ketika ini, angka korban akibat serangan berdarah di Gaza meningkat kepada 126 orang.

Terdapat dakwaan kumpulan Hamas dan pejuang Palestin lain di wilayah berkenaan melancarkan lebih 2,000 roket ke Israel sejak Isnin lalu menyebabkan sembilan orang terkorban.

Berikutan kebimbangan terhadap serangan berlarutan, penduduk Gaza menjadikan masjid dan sekolah sebagai tempat berlindung.

“Semua kanak-kanak takut dan kami bimbang keadaan mereka,” kata Kamal al-Haddad, yang melarikan diri bersama keluarganya ke sekolah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza.

Menurut pihak berkuasa, angka kematian di Gaza antaranya membabitkan 31 kanak-kanak selain 950 orang cedera.

Seorang lelaki, Oday Hassan, 21, antara individu yang bangkit melawan penindasan Israel di Al-Birah.

“Ia sesuatu yang memalukan jika terus berdiam dengan apa yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Sementara itu, kementerian kesihatan merayu orang ramai menderma darah bagi kegunaan lebih 150 individu yang cedera di Tebing Barat.

Israel dianggarkan membedil sekitar 750 kawasan yang kononnya menjadi tempat penghasilan bom oleh Hamas dan rumah kepada komandan kanan kumpulan itu.

Susulan pertempuran di Gaza, PBB memaklumkan Majlis Keselamatan akan bermesyuarat esok.

Terdapat juga dakwaan bahawa China menuduh Amerika Syarikat (AS) mengabaikan kesengsaraan masyarakat Islam selepas Washington didakwa menghentikan majlis itu dari bermesyuarat pada Jumaat.