- Iklan -
Berita

Ambil iktibar dari India, ordinan darurat diguna elak tsunami Covid-19, kata KP kesihatan

Kerajaan disaran tidak mengadakan sebarang pilihan raya menggunakan perintah darurat demi mengelakkan tsunami jangkitan Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata kempen pilihan raya dan perhimpunan besar-besaran di India sehingga menyebabkan tsunami jangkitan Covid-19 berlaku di negara itu harus memberi iktibar demi mengelakkan keadaan serupa berlaku di Malaysia.

Beliau berkata kelonggaran sekatan pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan India pada bulan Mac lalu telah mengakibatkan peningkatan kes positif serupa dengan apa yang pernah berlaku di Sabah susulan pelaksanaan pilihan raya (PRN) di negeri tersebut tahun lalu.

“Apabila 7 Mac pemimpin mereka telah isytiharkan kawalan pandemik Covid-19 amat baik dan akan tamat di India

“Jadi bila perkara itu dimaklumkan, ramai rakyat India dah tak patuh dengan SOP, sekatan diberikan kelonggaran, perhimpunan berlaku di pantai, dan perhimpunan berlaku di upacara keagamaan dan perkahwinan, dan jangkitan pun berlaku.

“Mereka juga mengadakan lima pilihan raya negeri. iaitu satu kempen melibatkan 200,000 orang, tiada penjarakan fizikal, dan tidak memakai penutup muka, jadi jangitan berlaku. Kita kena belajar dari India untuk elak pilihan raya.

“Kita amat bimbang sekiranya pilihan raya diadakan sama ada ia melibatkan pilihan raya kecil, negeri mahupun umum akan berlaku peningkatan kes seperti PRN Sabah dan ia akan menyukarkan usaha kita membendung penularan Covid-19.

“Kalau kita tidak menggunakan ordinan darurat, PRN Sarawak terpaksa diadakan iaitu pada bulan Jun. Dengan ada ordinan, kita boleh elakkan PRN Sarawak dan juga tiga pilihan raya kecil,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebarang langkah untuk mengadakan pilihan raya bermaksud perhimpunan secara besar-besaran akan diadakan.

“Sebagai contoh kluster Pasai yang merentas negeri dari Johor balik ke Sarawak telah menyebabkan lebih 2,000 jangkitan.

“Bayangkanlah kalau orang Sarawak  balik daripada Sabah dan Semnanjung untuk mengundi di kawasan pedalaman, jadi  jangkitan pasti akan berlaku.

“Inilah kebimbangan kita. Kalau jangkitan berlaku di kawasan pedalaman di Sarawak, pusat kesihatan kita mungkn tidak mampu mengesan dan merawat pesakit tersebut. Jarak kawasan pedalaman yang jauh, agak sukar untuk kita memberikan rawatan kepada pesakit-pesakit tersebut.

Pada Januari lepas,  Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah telah mengisytiharan Proklamasi Darurat sekaligus menangguhkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah mengisytiharkan darurat diambil di tengah-tengah ancaman beberapa ahli politik Umno untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kehilangan sokongan majoriti boleh menyebabkan pembubaran Parlimen dan pilihan raya perlu diadakan. Ia adalah sebuah senario yang dibantah Noor Hisham dan pegawai kesihatan kanan negara sejak tahun lalu.