Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg hari ini menyatakan penghargaan beliau dengan keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk membantu GPS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau berkata GPS yang merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinannya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin membantu mereka untuk memenangi pilihan raya itu.
“Terima kasih kepada mereka (PN) yang hendak membantu, orang nak membantu kita sambut (baik), orang nak lawan kita, kita lawan balik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (Sarawak Rural Broadband Network atau SRBN).
Ahad lepas Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat bagi membantu GPS memenangi PRN Sarawak yang dijangka diadakan selepas berakhirnya perintah darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Sabtu lepas.
Sementara itu, Abang Johari yang juga ketua menteri Sarawak enggan mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, agar parti itu diberikan ruang untuk bertanding sekurang-kurangnya di satu daripada 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak nanti.
“Saya masih di Long Terawan, tidak terfikir tentang perkara itu (permintaan Jofri). (Saya) masih sibuk dengan pemasangan broadband (SRBN),” kata Abang Johari dalam nada yang berseloroh.