- Iklan -
Berita

Alasan SPR tunda Undi 18 tak munasabah, kata Khairy

Penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran dilihat bercanggah dengan kenyataan pengerusi SPR pada tahun lalu bahawa persiapan untuk melaksanakannya akan selesai tahun ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama.

Alasan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menunda pelaksanaan Undi 18 yang sebelum ini dijadualkan bermula Julai 2021 hingga September tahun hadapan adalah tidak munasabah, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, SPR tidak sepatutnya memberikan alasan itu memandangkan ia sudah diluluskan sejak lebih setahun lalu.

“Kenyataan SPR semalam berkenaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik amatlah mengecewakan serta sama sekali tidak boleh diterima.

“Malah jawapan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik ini.

“Tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat ini dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun, iaitu September 2022 berbanding Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

Justeru, penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran dilihat bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi 18 termasuk undang-undang berkaitan akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyatan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang V.K Liew pada Oktober 2019 yang telah menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik.”

Menurut Khairy lagi, SPR seharusnya memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus itu memandangkan proses ini bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi 18 ini telah dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang dalam negara ini iaitu Parlimen Malaysia.

“Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikitpun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini.”

Semalam SPR mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 dijangka akan dilaksanakan selepas 1 September tahun depan, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 16 Julai 2019, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pentadbiran Pakatan Harapan bagi merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Rang undang-undang tersebut turut membenarkan pendaftaran pemilih automatik dan membenarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas untuk bertanding pilihan raya.

Usul tersebut diluluskan dengan 211 undi di Dewan Rakyat.