- Iklan -
Berita

Penumpang helikopter terhempas disiasat berhubung permit rentas negeri

Polis turut mengingatkan mereka yang menggunakan laluan udara untuk mendapatkan permit rentas negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas di Subang, Selangor semalam. Gambar: Facebook
Helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas di Subang, Selangor semalam. Gambar: Facebook

Polis akan menyiasat jika penumpang helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas di Subang, Selangor semalam mempunyai permit merentas negeri untuk masuk atau keluar dari Pahang, kata Ketua Polis Negeri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya menerima maklumat bahawa helikopter dalam penerbangan persendirian itu membawa juruterbang, penolong juruterbang dan tiga penumpang berlepas dari Sungai Lembing, sekitar 8.30 pagi.

“Kami akan siasat jika mereka ada permit atau tidak…kami mahu mengingatkan mana-mana pihak yang ingin masuk ke Pahang untuk mendapatkan permit merentas negeri terlebih dahulu atau bersedia dikenakan kompaun.

“Peringatan ini juga terpakai kepada mereka yang menggunakan laluan udara atau laut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Sambutan yang dirasmikan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri.

Semalam, sebuah helikopter Airbus Helicopter AS350 B3 yang dikendalikan Leopad Aviation Sdn Bhd terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 9.25 pagi.

Kementerian pengangkutan memaklumkan kejadian menyebabkan dua cedera manakala tiga lagi selamat dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil.