- Iklan -
Berita

Hamid Bador digesa namakan bekas KPN terlibat kartel

Bekas KPN, Musa Hassan berkata menamakan individu yang dimaksudkan akan menjelaskan perkara sebenar kerana tidak semua bekas pegawai kanan terima duit sindiket.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi

Musa Hassan hari ini menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador mendedahkan pegawai kanan dalam pasukan polis yang didakwa menerima wang daripada sindiket jenayah supaya mereka boleh disiasat.

Bekas KPN itu berkata pendedahan yang dibuat boleh memberi keadilan kepada semua pegawai polis kerana bukan semua mendapat bayaran daripada sindiket jenayah.

“Perlu dinamakan siapa bekas KPN itu dan kemudian siasatan perlu dijalankan, kalau tidak orang ingat semua KPN terlibat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dari dulu kita dah ambil tindakan, Sudah ada pegawai kanan yang dah kena tuduh. Tindakan sentiasa diambil. bukan sekarang je. Termasuk semua yang jadi KPN.”

Isnin lalu, Hamid menggesa pasukan polis untuk menghentikan budaya ambil duit yang melibatkan pegawai rendah sehingga yang berpangkat tinggi.

Dalam pada itu, Musa berkata beliau menyokong usaha Hamid untuk membersihkan pasukan polis.

Namun, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menyiasat perkara ini.

“Ya, SPRM perlu siasat tuduhan itu.. semua dakwaan perlu disiasat terutamanya bila melibatkan personaliti yang menjalankan tugas menjaga negara.”

Musa turut menambah, bukan hanya KPN, pegawai-pegawai polis rendah yang terlibat kartel juga harus disiasat kerana Hamid berkata mereka mahu menjatuhkan beliau.

Ketika dihubungi, dua lagi bekas KPN, Mohamad Fuzi Harun dan Khalid Abu Bakar menolak untuk memberikan respons terhadap kenyataan Hamid tersebut.

“Tak ada komen, masa saya dah berlalu,” kata Fuzi.

Sementara Khalid berkata kepada MalaysiaNow, “biar dia cakap seorang diri, saya tak ada komen.”