- Iklan -
Berita

Anwar cuba dapatkan sokongan PAS untuk ‘tikam belakang’ Dr Mahathir, kata Mukhriz

Mukhriz mempertahankan pentadbiran bapanya selepas pemimpin PKR menyalahkan Mahathir sebagai punca kejatuhan Pakatan Harapan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir dalam sidang media bersama ketika Pakatan Harapan masih mentadbir negara. Gambar: AP
Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir dalam sidang media bersama ketika Pakatan Harapan masih mentadbir negara. Gambar: AP

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir hari ini mendedahkan Presiden PKR Anwar Ibrahim berusaha untuk mengusulkan undi tidak percaya bagi menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dalam sebuah kenyataan menyelar pemimpin PKR susulan beberapa tohmahan menyalahkan bapanya kerana menjadi sebab kejatuhan PH, Mukhriz berkata dakwaan itu dimaklumkan oleh ahli Parlimen Tumpat dari PAS, Che Abdullah Mat Nawi.

“Che Abdullah Mat Nawi dari PAS mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim cuba mendapatkan sokongan PAS untuk undi tidak percaya terhadap Mahathir ketika PH masih kerajaan. Itu tindakan menikam dari belakang,” kata Mukhriz, yang merupakan ahli Parlimen Jerlun dalam sebuah kenyataan hari ini.

MalaysiaNow sedang mendapatkan butiran mengenai dakwaan Che Abdullah itu.

Mukhriz dalam kenyataan yang sama mempertahankan tempoh 22 bulan pentadbiran bapanya selepas pemimpin PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Anwar menolak jemputan untuk bersama dalam Langkah Sheraton tahun lalu.

“PKR tidak patut berpura-pura, kononnya pemimpin-pemimpinnya ikhlas dan budiman semasa PH berkuasa,” kata Mukhriz.

“Saya mengecam sebarang andaian mahupun dakwaan bahawa Dr Mahathir Mohamad pada bila-bila masa, melakukan kesalahan atau bertindak tanpa etika, termasuk ketika ahli-ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu dan PH,” tambahnya.

Langkah Sheraton merujuk sebuah rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PH selain turut dilihat sebagai perancangan untuk menyekat Anwar daripada menduduki jawatan perdana menteri.

Sebelum ini, Anwar dijanjikan untuk menduduki jawatan itu dalam persetujuan bersama antara gabungan PH sebelum PRU14.

Bagaimanapun penyerahan kuasa yang dijanjikan daripada Mahathir kepada Anwar tidak pernah berlaku.