- Iklan -
Berita

Denda maksimum RM100,000 untuk berita palsu darurat, Covid-19

Bagi kesalahan yang berterusan, denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan akan dikenakan selepas sabitan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut tafsiran Ordinan Daruat Kuasa-Kuasa Perlu tersebut, ‘berita tidak benar’ termasukah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat. Gambar: Bernama
Menurut tafsiran Ordinan Daruat Kuasa-Kuasa Perlu tersebut, ‘berita tidak benar’ termasukah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat. Gambar: Bernama

Mana-mana individu mencipta, menerbit atau menyebarkan berita tidak benar berhubung Covid-19 atau proklamasi daurat boleh berdepan dengan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, mulai hari ini.

Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Ini berikutan kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, yang berkuat kuasa esok, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ordinan tersebut dimasyhurkan oleh Yang Dipertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut tafsiran ordinan tersebut, ‘berita tidak benar’ termasukah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ordinan itu menetapkan mana-mana orang melalui apa-apa cara, dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan, menawar, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh diambil tindakan.

Selain itu, mana-mana orang yang secara langsung atau tidak langsung, menyediakan atau menjadikan tersedia bantuan kewangan dengan niat supaya bantuan kewangan itu digunakan atau mengetahui atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa bantuan kewangan itu digunakan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah seksyen tersebut, melakukan suatu kesalahan.

Ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga boleh memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah subseksyen itu untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mereka yang yang mempunyai dalam milikan atau kawalannya apa-apa penerbitan mengandungi berita tidak benar untuk menghapuskan penerbitan itu dalam masa 24 jam dari masa arahan diberikan oleh seorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa.

Kegagalan berbuat demikan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Mana-mana orang yang terjejas oleh arahan penghapusan penerbitan oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak arahan itu.

Di bawah penguatkuasaan, tiap-tiap kesalahan di bawah ordinan ini adalah ‘kesalahan boleh tangkap’ dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana orang yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan itu.

Polis atau pegawai juga diberi kuasa menjalankan penggeledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi permintaan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” menurut ordinan itu.

Ia juga menyatakan tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan Malaysia atau mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa berkenaan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan dengan suci hati dalam melaksanakan peruntukan ordinan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.