- Iklan -
Berita

Sekolah dibuka semula bermula 1 Mac

Murid pra sekolah dan sekolah rendah akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac.
Murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac.

Murid pra sekolah dan sekolah rendah akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac selepas ditutup akibat pandemik Covid-19.

Murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac manakala murid Tahun 3,4, 5 dan 6 akan memulakan sekolah seminggu selepas itu.

Bagi murid sekolah menengah, sekolah akan bermula pada 4 April kecuali bagi murid Tingkatan 5 yang akan memulakan sekolah pada 8 Mac.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, tarikh pembukaan sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian pendidikan.

“Apa yang penting ialah, sekolah mesti dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan murid mengikuti kelas dalam persekitaran yang selamat,” kata Radzi pada satu sidang media hari ini.

Katanya murid sekolah menengah akan dibahagikan kepada kumpulan A dan B mengikut negeri masing-masing.

Murid dari negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu berada dalam kumpulan A manakala kumpulan B pula terdiri daripada Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

“Murid daripada kumpulan A akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April 2021 manakala kumpulan B pada 5 April 2021.

“Pemilihan tarikh ini dibuat bagi memberi laluan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selesai menduduki peperiksaan,” katanya.

Bagi pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 1 (semester 2) dan Diploma Vokasional Malaysia tahun 1 (semester 2) turut akan memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac depan manakala semester lain akan bermula pada 8 Mac 2021.

“Pelajar sekolah antarabangsa juga akan memulakan sesi persekolahan bermula 8 Mac 2021.

Sebahagian besar murid memulakan takwin persekolahan di rumah, disebabkan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 melalui pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Kelas fizikal terhenti tahun lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Walaupun murid Tingkatan 5 dan 6 pada awalnya dibenarkan kembali ke sekolah pada 20 Januari, kementerian pendidikan kemudian membuat pengumuman mereka kembali meneruskan pembelajaran di rumah mulai 10 Februari.