- Iklan -
Berita

Jawatankuasa khas darurat bermesyuarat semalam

Mesyuarat itu telah menerima pembentangan mengenai pengurusan darurat, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan status penularan Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 turut mendengat taklimat mengenai status penularan Covid-19. Gambar: Bernama
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 turut mendengat taklimat mengenai status penularan Covid-19. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengadakan mesyuarat secara kehadiran fizikal dan sidang video hari ini.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria tersebut dihadiri kesemua 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang telah dilantik melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat itu telah menerima pembentangan tiga taklimat iaitu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berhubung pengurusan darurat, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan status penularan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat seterusnya dijadual diadakan pada 23 Februari ini.

Pada 9 Februari lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan senarai 19 individu yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dipengerusikan Arifin, berkuat kuasa serta-merta.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri pula akan berperanan sebagai urus setia jawatankuasa itu.