- Iklan -
Berita

Kanak-kanak lebih terdedah dengan pornografi di sebalik kelas dalam talian

Ibu bapa meluahkan rasa bimbang terhadap akses mudah kepada bahan-bahan itu.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Bahan-bahan pornografi yang mudah diakses melalui platform media sosial seperti Telegram.
Bahan-bahan pornografi yang mudah diakses melalui platform media sosial seperti Telegram.

Risiko penggunaan internet sejak dahulu yang dikaitkan dengan kanak-kanak di bawah umur terdedah kepada bahan-bahan pornografi dan material seksual kini menjadi lebih mencabar selepas pembelajaran di sekolah beralih ke kelas dalam talian, yang mana kanak-kanak diberi kebebasan menggunakan gajet dan peranti dengan lebih lama.

Semakan MalaysiaNow berikutan luahan ibu bapa yang bimbang mengenai keadaan itu mendedahkan kanak-kanak kini lebih mudah mengakses bahan ponografi tanpa syak wasangka daripada penjaga mereka disebabkan sifat semula jadi peranti mudah alih tidak seperti komputer konvensional, dan ia bukan satu-satunya masalah yang timbul.

Terdapat juga kumpulan dalam aplikasi media sosial yang membenarkan akses bahan-bahan ponografi sama ada secara terbuka atau tertutup, terhad dalam kalangan ahli sahaja.

Satu semakan di Telegram, sebagai contoh menunjukkan bahan-bahan seksual yang dikenakan bayaran diedarkan kepada ahli-ahli kumpulan merupakan gambar kanak-kanak bawah umur.

Salah satu kumpulan aplikasi itu dilihat meraikan apabila melihat imej-imej gadis tempatan menggayakan posisi seks yang dikongsi.

Kumpulan yang dikenali sebagai “Gprojek Melayu Tudung” mempunyai kira-kira 22,000 ahli dan sekali-sekali akan berkongsi imej-imej baru kanak-kanak termasuk permintaan video melibatkan murid sekolah melakukan aksi seks.

Namun, perkara yang membimbangkan adalah sesiapa sahaja kini memiliki peranti pintar dan mempunyai akses kepada aplikasi Telegram – platform sama digunakan murid-murid seluruh negara bagi pembelajaran secara dalam talian – bagi membolehkan akses kepada bahan pengajaran.

Sebuah lagi kumpulan yang dipanggil “Barang Larangan” menjadikannya sebagai satu tugasan tetap menyebar gambar dan video-video lucah termasuk gadis bawah umur.

Kebanyakan pengguna akan membuat permintaan kepada rakan-rakan sekumpulan jika mereka memiliki gambar individu tertentu yang mereka temui di media sosial.

Dalam satu hantaran mengejutkan, salah seorang ahli berkongsi maklumat bagi menyertai satu kumpulan tertutup yang mengenakan bayaran.

“Siapa-siapa yang berminat dengan koleksi kanak-kanak, Pedo. Barang baru 2019-2020. Dikemas kini. PM,” tulisnya.

“PM” merujuk kepada bahasa internet “sila mesej saya secara peribadi”.

Perbualan dalam sebuah kumpulan aplikasi Telegram mengenai bahan lucah.

Dengan sekolah-sekolah beralih secara dalam talian disebabkan pandemik Covid-19, aplikasi pesanan mudah alih seperti WhatsApp dan Telegram digunakan oleh guru-guru sebagai medium memberi kerja rumah dan perbincangan kumpulan.

Ini juga bermakna kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai pilihan selain membelikan anak-anak mereka peranti mudah alih, di mana aplikasi ini dimuat turun.

Peranti mudah alih lebih bersifat peribadi, tidak seperti komputer riba dan peribadi, bermaksud kebanyakan murid boleh menggunakan aplikasi ini jauh dari pandangan ibu bapa mereka.

Peralihan ke kelas dalam talian menjadikan kanak-kanak dan peranti tidak dapat dipisahkan, dan ia juga bermaksud peraturan had umur sebelum ini yang ditetapkan oleh pembangun aplikasi menjadi lebih lewah daripada sebelum ini.

WhatsApp dan Telegram dinilai pada kategori umur 16+.

Tidak mungkin ada cara untuk mengetahui usia pengguna, kerana ia hanya memerlukan akses kepada telefon pintar.

Penjenayah mudah pengaruhi kumpulan dalam talian

Peningkatan penggunaan khidmat pesanan mudah alih dan pendedahannya kepada golongan bawah umur boleh menimbulkan cabaran kepada pihak berkuasa dalam usaha mereka membanteras eksploitasi seksual kepada kanak-kanak.

Tiga tahun lalu, bahagian D11 Bukit Aman, yang ditugaskan menangani jenayah seksual melibatkan wanita dan kanak-kanak, mendedahkan sebanyak 17,333 alamat protokol internet (IP) terlibat dengan pornografi kanak-kanak datang dari Malaysia, menjadikan negara ini pengguna tertinggi di rantau Asia Tenggara.

Murid-murid kini beralih ke kelas dalam talian selepas pengajaran fizikal dihentikan kerana penularan Covid-19.

Mangsa kebiasaan melibatkan mereka yang berusia 13 hingga 16 tahun, yang menjadi sasaran kepada taktik digunakan pemangsa untuk membiasakan hubungan seksual.

Kanak-kanak itu turut didapati berhubung dengan pemangsa seks di media sosial di mana mereka kadang-kadang akan menghantar gambar-gambar dan video lucah tanpa mengetahui ia merupakan satu kesalahan.

Statistik dari Amerika Syarikat pada 2013 mendapati 25% kandungan ponografi kanak-kanak dihasilkan oleh jiran atau rakan ahli keluarga, manakala 18% datang daripada ibu bapa atau penjaga dan 18% lagi daripada tarikan dalam talian.

Pada November 2020, seorang warganegara Malaysia berusia 23 tahun bernama Shaini yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pemerhati komuniti melaporkan seorang ayah didapati secara rahsia merakam video anaknya dan menghantar ke salah satu kumpulan dalam talian di mana pornografi kanak-kanak diniagakan secara terbuka.

Pakar jenayah dan aktivis sosial memberi amaran komuniti dalam talian memudahkan komunikasi antara pesalah dengan menormalkan minat mereka dan mudah mempengaruhi terhadap kerosakan yang lakukan kepada kanak-kanak.

Dengan platform khidmat pesanan media sosial seperti Telegram, ia menjadikan lebih mudah untuk menyebar dan bertukar-tukar kandungan haram.