- Iklan -
Berita

19 premis tidak patuhi SOP PKP dikompaun, kata menteri

643 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 623 dikompaun manakala 20 lagi direman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Sebanyak 19 premis dikompaun semalam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu dibuat menerusi pemeriksaan khas pematuhan SOP oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di 1,330 premis perniagaan.

“Daripada jumlah itu, 1,293 premis mematuhi SOP, 12 diberi nasihat, enam diberi amaran manakala 19 lagi premis dikompaun,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ini.

Memperincikan tangkapan ingkar PKP semalam, beliau berkata 643 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 623 dikompaun manakala 20 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66),” katanya.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng semalam pula menyaksikan 14 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 8,717 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 299 orang disahkan positif Covid-19 semalam.

Beliau berkata secara kumulatif, sejak 1 Disember lepas seramai 305,620 pekerja warga asing menjalani ujian saringan yang melibatkan 13,202 majikan dan daripada jumlah itu 6,028 orang disahkan positif.

Ismail berkata sejak 24 Julai tahun lepas, seramai 117,449 individu pulang ke tanah air dan mereka ditempatkan di 73 hotel serta 14 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara

“Secara kumulatif seramai 7,599 individu dikuarantin, 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital,” katanya.