- Iklan -
Berita

Penerbit buku autobiografi Tommy Thomas disiasat polis

Chong Ton Sin mengesahkan telah dipanggil pihak polis untuk disoal siasat dan dirakam kenyataan di Bukit Aman.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Chong Ton Sin, penerbit autobiografi bekas peguam negara Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness.
Chong Ton Sin, penerbit autobiografi bekas peguam negara Tommy Thomas, My Story: Justice in the Wilderness.

Penerbit buku autobiografi, Tommy Thomas mengesahkan telah dipanggil pihak polis untuk disoal siasat dan dirakam kenyataan di Bukit Aman hari ini, berikutan beberapa laporan yang diterima.

Pemilik syarikat GB Gerakbudaya, Chong Ton Sin mengatakan tindakan itu dilakukan selepas beberapa pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengunjungi kedai buku milik syarikat itu di Petaling Jaya semalam.

“Dia (polis) tanya soalan biasa-biasa saja. Dia bukan siasat saya tapi siasat buku itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow, dan menambah dirinya tidak mengetahui sama ada polis menjalankan siasatan terhadap penulisan buku itu atau penerbitannya.

Buku autobiografi Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Bagaimanapun sejak berada di pasaran, buku itu mengundang kritikan daripada individu yang dinamakan termasuk bekas pegawai Thomas di Jabatan Peguam Negara.

Thomas membuat beberapa pengakuan dalam bukunya termasuk cita-citanya untuk menjadi peguam negara sejak 2013 dan sokongan daripada pemimpin tertinggi DAP untuk pelantikannya.

Buku setebal 552 muka surat itu ditulis dengan bantuan beberapa ahli politik termasuk Liew Chin Tong dan Syahredzan Johan dari DAP, bekas pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan dan ahli perniagaan Kalimullah Hassan dari ECM Libra Group.

Versi PDF lengkap buku itu sudah tersebar di platform media sosial termasuk WhatsApp, menyebabkan Chong memberikan amaran tindakan undang-undang bakal diambil kepada sesiapa yang menyebarkannya.

Chong menambah, sehingga kini dia tidak tahu siasatan dijalankan di bawah seksyen mana.

“Saya tidak tahu mereka siasat di bawah seksyen apa,” katanya.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, Chong bagaimanapun tidak terganggu dengan ancaman tindakan undang-undang, mengatakan buku itu akan terus dijual dan cetak ulang sedang berjalan.

Antara yang dikritik Thomas dalam bukunya berhubung beberapa peristiwa termasuk Dr Mahathir Mohamad, pegawai kanan kerajaan, peguam swasta, peguam negara, bekas peguam negara dan speaker Dewan Rakyat.

Thomas turut mengatakan beliau tidak meyakini kemampuan peguam-peguam kerajaan untuk menguruskan kes berprofil tinggi termasuk pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Kenyataan itu menyebabkan Thomas diselar Peguam Negara Idrus Harun yang mengatakan Thomas menghina pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara.