- Iklan -
Berita

Tiada kompromi dalam usaha memerangi rasuah, kata Putrajaya

Dalam kenyataan dikeluarkan PMO, Putrajaya menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Gambar: Bernama
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi tempoh lima tahun akan datang dalam meningkatkan urus tadbir kerajaan meskipun menyedari Malaysia berada pada kedudukan 57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020, yang diumumkan Transparency International (TI).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini berkata, kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) akan sentiasa melihat kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan.

“Seperti mana yang dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan PN, NACP masih diteruskan selain mengurangkan dan menutup peluang-peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip “rule of law”.

Ranking terbaru CPI yang dikeluarkan Transparency International semalam menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke 57 daripada 180 negara, selain skor menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata.

New Zealand dan Denmark berkongsi tangga pertama manakala Syria, Sudan Selatan dan Somalia berada di kedudukan terbawah.

Dalam kalangan negara Asean, Singapura berada di kedudukan teratas diikuti Brunei.

Singapura satu-satunya negara Asia yang berada di kedudukan 10 teratas.

Beberapa kes berprofil tinggi masih dibicarakan di mahkamah walaupun selepas pertukaran kerajaan awal tahun lepas.

Pada Julai lalu, bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana berjumlah RM42 juta daripada syarikat berkait 1MDB di dalam akaun bank peribadinya.