- Iklan -
Berita

Perjuangan mengembalikan populasi ikan negara yang makin berkurang

Program pemutihan vesel dan pelaksanaan zon penangkapan ikan antara inisiatif bagi memastikan hidupan marin negara dipelihara.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Stok ikan negara kini semakin berkurang akibat penangkapan ikan secara berlebihan. Dengan pelbagai usaha dilakukan jabatan perikanan ia diharap dapat memulihkan kembali populasi ikan negara.
Stok ikan negara kini semakin berkurang akibat penangkapan ikan secara berlebihan. Dengan pelbagai usaha dilakukan jabatan perikanan ia diharap dapat memulihkan kembali populasi ikan negara.

Apabila ia pupus, semuanya sudah terlambat, ini antara tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan hidupan marin negara dilindungi setelah sekian lama menjadi mangsa pukat tunda dan penangkapan secara berlebihan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan 96% stok ikan demersal – ikan yang hidup dan mencari makan dekat atau di dasar laut – hilang dalam tempoh kurang dari 60 tahun disebabkan isu tersebut.

Kini, jabatan perikanan sedang berusaha menggembalikan populasi ikan demersal di perairan negara.

Jabatan perikanan atau DoF yang di bawah kawal selia kementerian pertanian dan industri makanan merangka pelbagai inisiatif bagi memastikan usaha menghidupkan kembali populasi ikan yang dahulu jumlahnya banyak menjadi kenyataan.

Langkah pertama yang dilihat kritikal adalah dengan mengawal jumlah tangkapan ikan.

Bagi membolehkan ia dilaksanakan, DoF telah memperkenalkan satu langkah dikenali sebagai sistem pelesenan vesel.

Oleh kerana bilangan kapal menangkap ikan sedia ada mencapai tahap optimum di perairan negara, tiada lesen baru dikeluarkan kepada kapal-kapal baru sejak 1982, dengan pengecualian kepada kapal digunakan untuk tangkapan laut dalam.

Program pemutihan vesel turut dilaksanakan, satu proses bagi memastikan kapal layak beroperasi dalam tempoh sah lesen.

Langkah pertama yang dilihat kritikal adalah dengan mengawal jumlah tangkapan ikan.

“Ini merupakan antara komitmen jabatan bagi membendung aktiviti tangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak diatur,” kata jurucakap DoF kepada MalaysiaNow.

Dan jabatan itu amat sibuk: setakat ini 2,072 lesen vesel dibatalkan.

Menyedari kepada nilai yang ada, jabatan itu juga komited untuk melindungi biodiversiti marin negara yang masih wujud.

Ini dilakukan dengan mewujudkan taman-taman laut, zon konservasi, kawasan larangan perikanan dan lain-lain.

Di negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor, kawasan penangkapan ikan dizon semula, untuk memberi ruang pemulihan populasi ikan.

Kawasan kosong hingga satu batu nautika dari pantai dikhaskan untuk aktiviti akuakultur, dan menjadi kawasan utama pembiakan anak-anak ikan untuk membesar.

Kawasan penangkapan ikan yang dikenali sebagai zon pukat tunda disemak semula dari lima batu nautika kepada lapan batu nautika ke atas, yang bertujuan bagi membantu stok ikan demersal pulih semula, tambah jurucakap itu.

Melihat kepada inisiatif yang dilakukan, DoF tidak mampu melakukan secara bersendiri.

“Kami bekerjasama dengan agensi lain seperti polis marin, tentera laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memantau dan mencegah salah laku yang mungkin boleh menjejaskan sumber perikanan negara,” kata jurucakap itu.

Bagi memenuhi keperluan ikan negara untuk makanan laut tanpa memberi tekanan kepada sumber perikanan yang semakin berkurang, DoF melihat pembangunan sektor akuakultur sebagai langkah ke hadapan.

Strategi utama termasuk memberi tumpuan dalam pembangunan serta penggunaan teknologi dan inovasi sedia ada dan baru.

Ia termasuk memperkenalkan konsep “aquaculture smart farming” melalui penggunaan internet kebendaan atau loT dalam sistem akuakultur. Ia dijangka dapat meningkatkan produktiviti, menjimatkan tenaga kerja memudahkan operasi di ladang ternakan atau sangkar.

Ia juga penting bagi memastikan perusahaan tersebut dilesenkan.

“Ia bagi membolehkan tindakan diambil kepada pemilik premis akuakultur yang tidak berlesen atau yang melanggar syarat-syarat lesen,” kata jurucakap itu.

Pada masa depan, pemasangan alat pengesan seperti Sistem Pemantauan Automatik (AIS) dan “Mobile Transceiver Unit” (MTU) akan diwajibkan kepada semua vesel menangkap ikan mengikut zon terpilih.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan tangkapan ikan dan memastikan sumber perikanan negara terus mampan.

Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, yang menerima peruntukan sebanyak RM150 juta, akan dilaksanakan untuk meningkatkan kawalan terhadap penangkapan ikan berlebihan dan meningkatkan daya siang dalam kalangan nelayan tempatan.

Usaha lain yang dilaksanakan seperti program pemulihan sumber dan peningkatan stok melalui peningkatan habitat, mewujudkan kawasan perlindungan pembiakan dan pembesaran ikan, memasang terumbu buatan dan pelepasan anak-anak ikan di perairan terbuka serta program perintis seperti musim tertutup menangkap ikan di negeri Kedah, penubuhan refugia di Sarawak dan Johor antara langkah yang dilakukan bagi mengatasi krisis hidupan marin.

Mungkin selepas ini, menerusi semua usaha kolektif yang dilaksanakan, rakyat negara ini dapat menikmati makanan laut mereka tanpa bimbang mengenai kekurangan stok.