- Iklan -
Berita

Rogol dalam lokap dipercayai berlaku, kata polis

Kejadian rogol itu berlaku membabitkan tahanan remaja di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail. Gambar: Bernama
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail. Gambar: Bernama

Polis Sarawak percaya kejadian rogol membabitkan tahanan remaja di lokap Balai Polis Pusat Miri berlaku, berdasarkan percakapan saksi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut memandangkan kamera litar tertutup di lokap berkenaan hanya berfungsi untuk pemantauan, bukan untuk merakam.

“Kamera litar tertutup memang ada di lokap berkenaan, tetapi saya difahamkan tidak boleh merakam, hanya boleh ‘monitor’ oleh pengawal yang bertugas. Saya juga telah mengarahkan pasukan menyiasat kenapa perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya pada sidang media pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sarawak bagi 2020, di sini hari ini.

Katanya hasil siasatan dalaman itu yang diselaraskan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Fisol Salleh akan diketahui pada minggu ini.

“Berdasarkan bukti-bukti percakapan daripada saksi, kita mendapati memang berlaku kejadian itu (rogol) di dalam lokap,” katanya.

Senator Alan Ling Sie Kiong menerusi hantaran dalam akaun Facebook  beliau Sabtu lalu mendedahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Balai Polis Pusat Miri, mendakwa dirinya dirogol oleh tahanan lain semasa berada di dalam lokap di balai tersebut pada 9 Januari lepas.

Ketika mengulas dakwaan itu, Aidi dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan siasatan secara terperinci mengenai dakwaan tersebut  termasuk aspek kecuaian anggota bertugas.

Dua anggota yang bertugas ketika kejadian itu turut digantung kerja serta-merta sementara siasatan sedang dijalankan.