- Iklan -
Berita

Polis siasat kafe hias dinding guna wajah pemimpin komunis China, Mao Zedong

Kertas hiasan dinding di dua buah kafe berkenaan diturunkan malam tadi, dan polis membuka kertas siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis siasat kafe yang menghiasi dinding dengan gambar Mao. Gambar: Facebook
Polis siasat kafe yang menghiasi dinding dengan gambar Mao. Gambar: Facebook

Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dua kafe di Pulau Pinang yang didapati menggunakan kertas hiasan (wallpaper) memaparkan wajah pemimpin komunis, Mao Zedong bagi menghiasi dinding dalamannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata siasatan awal mendapati premis kafe di Juru, Bukit Mertajam dekat ini dan di Pulau Tikus di George Town, adalah milik seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

“Setakat ini polis merekodkan keterangan beberapa individu termasuk pekerja di kafe berkenaan bagi membantu siasatan, pemiliknya kami belum mengambil (keterangan) kerana lelaki itu sedang menjalani kuarantin Covid-19 selama 14 hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kertas hiasan dinding di dua buah kafe berkenaan diturunkan malam tadi, dan polis membuka kertas siasatan, bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 berkaitan penerbitan propaganda pertubuhan haram.

Semalam, maklumat mengenai kafe yang menghiasi dindingnya menggunakan gambar wajah pemimpin komunis itu menjadi tular di media sosial.