- Iklan -
Berita

McDonald’s kata dagingnya diiktiraf Jakim

Bekalan diambil secara terus daripada pembekal MacFood Services (M) Sdn Bhd yang memiliki sijil halal tanpa melalui pihak ketiga.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sejak 2017, MacFood Services telah diterima dan diletakkan di bawah senarai halal Jakim.
Sejak 2017, MacFood Services telah diterima dan diletakkan di bawah senarai halal Jakim.

Restoran francais makanan segera McDonald’s memberi jaminan semua produk daging lembu yang digunakan di Malaysia adalah halal dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diperoleh daripada pembekal yang tersenarai dalam sijil halal luar negara.

Kebimbangan timbul selepas pendedahan mengenai kartel daging yang membungkus semula daging import menggunakan logo halal.

Menurut syarikat itu, daging lembu mentahnya dibeli secara terus daripada pembekal MacFood Services (M) Sdn Bhd dari Australia, New Zealand dan Brazil yang memiliki sijil halal tanpa melalui pihak ketiga.

Katanya rumah penyembelihan tersebut turut mematuhi program makanan keselamatan dan kebajikan haiwan sebelum mereka layak menjadi pembekal kepada Mcdonald’s yang diluluskan Jakim.

“Sejak 2017, MacFood Services telah diterima dan diletakkan di bawah senarai halal Jakim, yang memberikan pengiktirafan kepada pematuhan MacFood Services dengan syarat halal Jakim,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh francais burger popular itu sebagai respon kepada pertanyaan daripada MalaysiaNow.

Tambahnya, perkhidmatan MacFood memenuhi keperluan beberapa piawaian global termasuk peralatan yang digunakan daripada sistem pengurusan kualiti pembekal.

“Pengauditan ini meliputi pengesanan dan penipuan makanan, yang akan mengkaji bahan mentah yang digunakan dan dipatuhi.”

Jakim dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan produk tertentu sebagai halal.

Baru-baru ini Jakim dikatakan akan mengeluarkan senarai pengimport daging berlesen di negara ini, ekoran kebimbangan yang disuarakan orang ramai mengenai skandal penipuan daging.

Ada dakwaan mengatakan daging yang tidak mempunyai sijil halal dicampurkan dengan daging yang tidak halal, dan berjaya melepasi pemeriksaan dan kos yang melibatkan proses pensijilan halal, sebelum dijual di pasar tempatan.