- Iklan -
Berita

Putrajaya berdepan kemungkinan kurang kelengkapan, petugas dalam perang melawan Covid-19

Kes jangkitan Covid-19 dijangka mencecah angka 5,000 sehari.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Katil-katil untuk kegunaan para pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang. Gambar: Facebook
Katil-katil untuk kegunaan para pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang. Gambar: Facebook

Putrajaya bersiap siaga berdepan kemungkinan berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19, bimbang sekiranya unjuran kes mampu mencecah angka 5,000 sehari menyebabkan kelengkapan hospital tidak mencukupi untuk merawat pesakit jika persiapan tidak dilakukan segera.

MalaysiaNow difahamkan, ini antara isu yang disuarakan dalam salah satu mesyuarat terakhir tahun ini bagi pegawai kanan Putrajaya membincangkan langkah-langkah berkaitan Covid-19.

Dalam mesyuarat itu, pegawai-pegawai kanan kerajaan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kekurangan bilangan katil hospital untuk merawat berpuluh-puluh ribu pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad.

“Mesejnya sangat jelas: “Hari yang teruk belum tiba, jadi kena cari penyelesaian dalam tempoh dua bulan ini,” kata sumber yang mengetahui mengenai perkembangan itu kepada MalaysiaNow.

Kes laporan harian Covid-19 beberapa minggu kebelakangan ini kebanyakan mencatatkan empat digit, dan jumlah pesakit yang menerima rawatan sejak pertama kali virus itu dikesan di negara ini hampir mencapai 100,000.

Semalam, sebanyak 1,348 kes baru Covid-19 dikesan, dan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 444, dengan sebahagian besar dilaporkan berlaku ketika gelombang ketiga bermula September.

Masalah ini diburukkan lagi apabila petugas kesihatan turut dijangkiti Covid-19.

Sumber itu memberitahu MalaysiaNow, kementerian kesihatan menyedari banyak aduan diterima berkaitan kualiti perkhidmatan kerana beberapa hospital terpaksa menanggung beban lonjakan kes Covid-19.

“Contohnya Hospital Selayang terpaksa menerima ramai pesakit daripada Hospital Sungai Buloh yang kini menjadi pusat rawatan bagi pesakit positif Covid-19,” tambahnya.

Awal Disember lalu, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME), sebuah pusat penyelidikan di Universiti Washington mengunjurkan Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih 5,000 jangkitan setiap hari menjelang 25 Februari.

MalaysiaNow difahamkan selain katil, penggunaan ventilator dan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat mencapai kapasiti maksimum kerana peningkatan pesakit dengan penyakit kronik yang dijangkiti Covid-19.

Masalah ini diburukkan lagi apabila petugas kesihatan turut dijangkiti Covid-19.

“Ia akan menjejaskan bilangan tenaga kerja yang diperlukan untuk memerangi pandemik ini,” kata sumber itu.

Katanya sekurang-kurangnya 50,000 katil diperlukan iaitu 200% lebih banyak daripada bilangan katil sedia ada jika unjuran 5,000 kes harian menjadi kenyataan awal tahun depan.

“Setakat ini KKM mempunyai kira-kira 24,136 katil, tetapi dengan 5,000 pesakit sehari, sudah tentu tak cukup.”

Salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan kerajaan adalah dengan membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang.

Pusat tersebut mampu menampung sehingga 10,000 pesakit, dan diaktifkan kembali awal bulan ini bagi mengatasi lonjakan kes yang mendadak.

“Kini, sebanyak 3,906 pesakit sudah ditempatkan di situ,” sumber itu memberitahu MalaysiaNow.

Beribu-ribu pekerja asing yang dijangkiti Covid-19, yang menjadi penyumbang terbesar kepada jangkitan dalam negara sejak bulan lalu sedang menerima rawatan di pusat berkenaan.

“Pusat itu memerlukan lebih ramai petugas, kelengkapan, makanan, perkhidmatan sokongan termasuk juga keselamatan dan katil,” tambah sumber itu.