- Iklan -
Berita

Kedai tak benar ucapan ‘Merry Christmas’ di kek kerana sijil halal

Pemintaan seorang pelanggan terpaksa ditolak oleh kedai kek.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim. Gambar: AFP
Logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim. Gambar: AFP

Seorang lelaki terkejut apabila diberitahu sebuah kedai kek yang permintaannya menulis ucapan “Merry Christmas” di atas sebiji kek yang dipesan untuk dihantar kepada rakannya terpaksa ditolak, kerana kedai itu dalam proses untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sebaliknya kek yang dihantar kepada penerima itu ditulis dengan ucapan “Selamat Bercuti”.

“Saya belum pernah melalui kejadian seperti ini selama bertahun-tahun saya berurusan dengan kedai kek, tetapi kali ini, pihak pengurusan memohon maaf kepada saya dengan mengatakan ia sebahagian daripada syarat ketika proses audit,” kata lelaki yang enggan dikenali itu kepada MalaysiaNow.

Dia juga merayu supaya tidak mendedahkan nama kedai kek tersebut kerana bimbang ia akan memberikan “publisiti tak sepatutnya” kepada mereka.

“Ia mungkin satu kesilapan oleh seseorang di Jakim,” tambahnya.

Jakim diberi kuasa sebagai satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan sijil perakuan halal bagi semua jenis makanan dan barangan serta restoran-restoran di seluruh negara.

Semakan dalam Sistem Pengurusan Halal Malaysia mendapati salah satu syarat di bawah pembungkusan dan label menyatakan logo halal tidak digunakan pada label untuk tujuan promosi perayaan agama lain.

Senarai semakan itu digunakan ketika audit dalaman sesuatu produk merangkumi semua peringkat bermula daripada sumber bahan mentah sehingga ke peringkat pengeluaran, penyimpanan dan peruncitan.

Bagaimapun, ia tidak menyatakan dengan jelas sama ada kedai yang memiliki sijil perakuan halal dilarang menulis ucapan perayaan untuk orang bukan Islam seperti yang diminta pelanggan.

MalaysiaNow menghubungi Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta menteri yang bertanggungjawab Zulkifli Mohamad Al-Bakri, untuk mendapatkan penjelasan.

Pada masa lalu, pengkritik bertindak mempersoal beberapa syarat yang ditetapkan oleh Jakim kepada pengeluar makanan dan francais yang ingin memperoleh sijil perakuan halal, termasuk melarang pengunaan nama-nama tertentu pada produk tersebut.

Rangkaian pretzel popular Auntie Anne’s dan francais makanan segera A&W terpaksa menamakan semula produk popular mereka kerana syarat ditetapkan oleh Jakim melarang pengunaan perkataan seperti “dog” dan “beer” pada menu mereka.

Sejak itu Auntie Anne’s menamakan semula “pretzel dog” menjadi “pretzel sausage”, manakala A&W terpaksa menukar nama dua hidangan popular mereka yang dikenali seluruh dunia: Coney Dog dan Root Beer, menjadi Coney Chicken (atau Beef) dan RB.