Naib ketua Armada Kota Tinggi mati lemas
Mayat Mohd Zulfikrie ditemukan pada 3 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Terkini
Naib ketua Armada Bersatu Kota Tinggi, ditemukan lemas di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.
Mangsa Mohd Zulfikrie Buang, 24, dilaporkan tergelincir dari perancah ketika sedang melakukan kerja-kerja membaiki Jeti Tanjung Balau di Bandar Penawar petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata mayat Mohd Zulfikrie ditemukan pada 3 petang, dalam anggaran 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Dengan penemuan mayat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini ditamatkan pada 4.15 petang,” kata beliau dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Pagi semalam, pihak bomba memaklumkan operasi SAR mangsa diteruskan selepas operasi pada hari sebelumnya gagal menemui sebarang petunjuk.
Operasi ditumpukan di kawasan pinggir pantai Jeti Nelayan Tanjung Balau, Jeti Challet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balau dengan dibantu anggota polis, Angkatan pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sementara itu, Armada Kota Tinggi dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi parti mengesahkan kejadian yang menimpa Mohd Zulfikrie itu.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk naib ketua Armada Bersatu Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang yang telah ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau, petang semalam. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” menurut kenyataan itu.
Barisan kepimpinan Armada Bersatu Kota Tinggi turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Mohd Zulfikrie dan turut menyatakan perjuangan arwah untuk masyarakat akan diteruskan parti.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.