- Iklan -
Berita

Ahli ekonomi gesa kerajaan fokus lawan Covid-19, ketepikan penarafan antarabangsa

Semakan penarafan itu hanyalah pendapat Fitch yang merupakan salah satu agensi penarafan kredit di peringkat antarabangsa.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia harus memerangi pandemik Covid-19 dengan memberikan tumpuan terutama bantuan kepada rakyat berbanding perkara lain. Gambar: Bernama
Malaysia harus memerangi pandemik Covid-19 dengan memberikan tumpuan terutama bantuan kepada rakyat berbanding perkara lain. Gambar: Bernama

Kerajaan disaran fokus memerangi Covid-19 dalam negara tanpa mengambil serius persepsi antarabangsa terhadap beban pinjaman di pasaran kewangan global, kata ahli ekonomi.

Lee Hwok Aun dari Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (Iseas) di Singapura berkata, semakan penarafan itu hanyalah pendapat Fitch yang merupakan salah satu agensi penarafan kredit di peringkat antarabangsa.

“Ia masih awal untuk diambil kira sebagai penilaian yang tepat dan kukuh,” katanya kepada MalaysiaNow.

Baru-baru ini Fitch Ratings menurunkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia daripada A- kepada BBB+.

Lee berkata, Malaysia harus memerangi pandemik Covid-19 dengan memberikan tumpuan kepada pengurusan hal-ehwal ekonomi, peruntukan belanjawan dan bantuan kepada rakyat berbanding perkara lain.

“Supaya melindungi kebajikan isi rumah, guna tenaga dan perniagaan boleh dilindungi, termasuk menjana pekerjaan memelihara hala tuju pendidikan dan sektor kesihatan am,” katanya.

“Ia masih awal untuk diambil kira sebagai penilaian yang tepat dan kukuh,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jumaat lalu, Fitch dalam satu kenyataan berkata, penurunan nilai IDR disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Ini menyebabkan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menyegerakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen yang bersidang hingga 17 Disember ini.

PH dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penurunan penarafan itu memberi tamparan hebat kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Bagaimanapun, kenyataan itu diselar Zafrul yang mengatakan tindakan PH mempolitikkan penarafan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

Zafrul berkata, kenyataan PH itu bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini dan pada 24 Ogos lepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat penarafan bukan isu utama yang patut dititik beratkan kerajaan dan soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Zafrul berkata, antara 100 negara mengalami penurunan penarafan Fitch Ratings pada tahun ini termasuk United Kingdom (UK), Hong Kong, Chile dan Laos.

Sementara ahli ekonomi Madeline Berma dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata penilaian yang diberikan agensi-agensi penarafan kredit global adalah bersifat persepsi di mana kebanyakan negara tidak mempedulikan penilaian-penilaian yang diberikan.

Beliau yang juga anggota pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, penurunan taraf oleh Fitch Ratings memberikan sedikit kegusaran mengambil kira Malaysia masih bergantung kepada pelabur asing untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas disebabkan Covid-19.

Katanya, penurunan penarafan Malaysia kepada “BBB+” akan memberikan dua kesan terhadap ekonomi negara iaitu pandangan pelabur asing terhadap keupayaan melabur dalam negara dan nilai ringgit bakal terjejas.

Beliau bagaimanapun berkata, penurunan itu sudah boleh diramal memandangkan banyak negara di seluruh dunia mengalami masalah ekonomi yang teruk akibat pandemik Covid-19.

“Sebab, dah lama sangat (nilai penarafan) kita tak turun,” katanya kepada MalaysiaNow.