- Iklan -
Berita

Pengurusan kes pengubahan wang haram Rosmah 15 Disember

Rosmah menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 15 Disember ini untuk pengurusan kes Rosmah Mansor yang menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika ditanya perkembangan kes tersebut yang sebelum ini ditetapkan untuk pengurusan kes semalam.

“Semalam (pengurusan kes) dilapangkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pengurusan kes diubah ke 15 Disember ini,” katanya menerusi WhatsApp.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan melapangkan perbicaraan kes pengubahan wang haram itu yang sepatutnya bermula Mei lalu, bagi memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Rosmah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 12 hingga 14 Mei; 6 hingga 9 Julai; 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 24 Julai lepas untuk perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

“Semalam (pengurusan kes) dilapangkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pengurusan kes diubah ke 15 Disember ini,” katanya menerusi WhatsApp.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah yang diwakili peguam Geethan Ram Vincent didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfpuaa) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa  gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah hasil dalam negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.