- Iklan -
Berita

KDN tapis permohonan lesen senjata api pemilik tanaman secara teliti, kata menteri

Kelulusan permit senjata api secara beli baru atau pindah milik akan dipertimbangkan dengan berhati-hati dan terperinci.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi

Pemohonan memiliki senjata api dalam kalangan pemilik tanaman sentiasa ditapis secara teliti oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis bagi memastikan hanya mereka yang berkelayakan sahaja boleh memilikinya serta tiada penyalahgunaan terhadap lesen itu, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap lesen dan permit senjata api yang tertakluk kepada Akta Senjata 1960.

Katanya, kelulusan permit senjata api secara beli baru atau pindah milik akan dipertimbangkan dengan berhati-hati dan terperinci kerana ia mempunyai risiko yang mampu mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Oleh itu, hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan yang akan diluluskan pemilikan lesen atau permit senjata api.

“Untuk makluman Yang Berhormat, setiap permohonan untuk mendapat lesen atau permit senjata api perlu mendapat tapisan yang rapi oleh polis.

“Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi musuh tanaman hendak memenuhi syarat, antaranya seperti berikut, melepasi tapisan keselamatan dan sahsiah, memiliki fizikal dan tahap kesihatan yang baik, keterampilan diri, bergantung hidup dengan hasil pertanian, menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil serius,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berhubung apakah KDN akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet yang merosakkan tanaman.

Hamzah berkata, bagi pemilik yang mempunyai musuh tanaman namun tidak mempunyai lesen dan permit senjata api, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pelesen senjata api dan penguat kuasa dalam menyelesaikan permasalahan ini daripada berlarutan yang boleh menjejaskan tanaman.

“Bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit memiliki senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, saya mencadangkan mereka mendapatkan bantuan daripada pelesen senjata api setempat, Jabatan Perhilitan atau anggota Rela untuk membantu mengatasi masalah ini.”