- Iklan -
Berita

Adakah Covid-19 membunuh stigma terhadap ijazah dalam talian?

Universiti dan kolej di Malaysia turut mendekati pengajian dalam talian, walaupun wujud persoalan mengenai ijazah dalam talian.

Nur Hasliza Mohd Salleh dan Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 6 November lalu menunjukkan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam Muhammad Hazim Zainal sedang mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian. Gambar: Bernama
Gambar yang dirakam pada 6 November lalu menunjukkan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam Muhammad Hazim Zainal sedang mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian. Gambar: Bernama

Tidak lama dulu, seorang timbalan menteri dihimpit kontroversi selepas timbul dakwaan ijazah pentadbiran perniagaan yang dimilikinya diperoleh daripada sebuah universiti di Amerika Syarikat melalui pengajian jarak jauh secara dalam talian.

Marzuki Yahya, yang merupakan timbalan menteri luar negeri semasa pemerintahan Pakatan Harapan, menerima kecaman pengguna media sosial, termasuk laporan polis dilakukan terhadapnya mendakwa beliau menggunakan kelulusan akademik palsu, hanya kerana ia diperoleh bukan menggunakan cara konvensional.

Tetapi beliau tidak keseorangan.

Pada 2013, dua anggota Kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN), Menteri Sumber Manusia Richard Riot dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ewon Ebin, turut dituduh memiliki ijazah “palsu”, kerana ia diperoleh melalui secara pengajian dalam talian.

Akan tetapi adakah pandemik Covid-19 sudah mengubah tanggapan mengenai ijazah dalam talian yang dikatakan tidak setaraf berbanding mereka yang memperolehnya dengan menghadiri kuliah secara fizikal bertahun-tahun di universiti?

Hari ini, kira-kira 1.5 bilion pelajar pengajian tinggi di seluruh dunia berubah daripada perlu menghadiri kuliah secara fizikal kepada kelas dalam talian, sebagai salah satu langkah yang diambil kerajaan untuk meminimum kontak dalam usaha membendung Covid-19.

Perbahasan mengenai fenomena baru itu masih berterusan, mempersoalkan kualiti dan kelayakan graduan secara dalam talian berbanding mereka yang mengikuti kursus pengajian secara tradisional di dalam kelas.

Prof Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata terdapat tiga sebab utama mengapa sijil yang diperoleh secara dalam talian tidak setaraf berbanding kaedah konvensional.

“Pertama pengenalan kursus dalam talian masih baru dalam negara ini dan belum disemak ‘kesahihannya’ sama ada sijil tersebut benar-benar boleh dipercayai atau tidak,” kata Teo, yang merupakan pensyarah Institut Kajian Etnik UKM kepada MalaysiaNow.

“Kedua, masih terdapat segelintir majikan yang meragui kelayakan para graduan menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian, disebabkan ia masih baru dan belum terbukti setara dengan kaedah pengajian secara tradisional.”

Sebab terakhir, kata Teo, ia ada kaitan dengan kejujuran para pelajar.

“Penipuan dikesan berlaku ketika ujian secara dalam talian menjadikan ijazah melalui kaedah ini dianggap seperti dipalsukan,” katanya.

Teo bagaimanapun berkata, norma baru dalam sektor pendidikan di seluruh dunia selepas pandemik Covid-19 melanda, mungkin mengubah pandangan tersebut.

Katanya graduan yang mencari kerja menggunakan ijazah dalam talian mungkin lebih diterima majikan pada masa depan, terutama jika ia datang daripada institusi pendidikan bertauliah.

Sebab terakhir, kata Teo, ia ada kaitan dengan kejujuran para pelajar.

Selepas universiti awam mengumumkan penutupan kampus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) April lalu, kuliah dan tutorial dilaksanakan secara dalam talian.

Banyak universiti awam mula menawarkan 30 hingga 60% kursus pengajian secara dalam talian.

Berdasarkan Kod Amalan Akreditasi Program: Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh yang dikeluarkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 November 2019, pengendalian program secara dalam talian boleh diadakan mengikut kesesuaian dan fleksibiliti aktiviti pembelajaran mengikut kursus dan jurusan masing-masing.

MQA, agensi yang dipertanggungjawabkan bagi menentukan kualiti institusi pengajian tinggi dalam negara ini mengeluarkan beberapa panduan kepada universiti awam dan kolej mengenai pelaksanaan program pendidikan tinggi semasa tempoh pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Hussaini Omar berkata universiti awam perlu memastikan kualiti pengajian dalam talian dikekalkan.

“Mereka juga perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan pelajar dan kakitangan dalam pelaksanaan,” katanya.

Tambahnya, sebarang pindaan dan penyelarasan perlu direkod untuk tujuan rujukan semasa penilaian akreditasi MQA pada masa akan datang.

Stigma mengenai pengajian dalam talian adalah universal, dan disebabkan itu beberapa universiti terkemuka di Barat membezakan antara ijazah tradisional dan secara dalam talian.

Sarjana Pentadbiran Perniagaan atau MBA yang diperoleh secara dalam talian, sebagai contoh akan dipanggil “iMBA”.

Tetapi Covid-19 mungkin boleh mengubah semuanya.

“Saya berpendapat mungkin pasca pandemik, mampu menghilangkan stigma itu melihat kepada keperluan kita untuk pengajian secara dalam talian,” kata Rachel Hewitt daripada Institut Dasar Pengajian Tinggi, sebuah badan pemikir pengajian tinggi British yang baru-baru ini dipetik berkata oleh BBC.

Teo bagaimanapun, lebih percaya kepada pengajian secara tradisional.

Tahap penerimaan terhadap ijazah dalam talian, tegasnya, mungkin akan ditentukan berdasarkan berapa lama pandemik Covid-19 berlarutan.

“Pembelajaran dalam talian dalam tempoh mencabar ini disebabkan Covid-19, hanya bersifat sementara. Ia adalah norma baru yang tidak akan dianggap sebagai norma pada masa akan datang.

“Tradisi kelas secara fizikal dalam dewan kuliah dengan bersemuka akan tetap menjadi norma utama dalam sektor pendidikan dan bukannya pengasingan diri seperti pembelajaran secara dalam talian, walaupun wujud interaksi digital,” katanya.