- Iklan -
Berita

Najib nafi Umno tidak sokong penubuhan RCI Tabung Haji

UJSB mencatatkan kerugian bersih RM9.95 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 4 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Najib Razak, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya dan Umno tidak mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar kerugian dialami Lembaga Tabung Haji (TH).

Bekas perdana menteri itu berkata, Umno sebelum ini sudah berulang kali mendesak kerajaan supaya menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian TH, sejak zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah lagi.

“Kami dah berulang-kali tuntut dari zaman gagalkrasi PH sehingga zaman kerajaan PN ini untuk membersihkan nama BN daripada tuduhan merapu PH berhubung Tabung Haji dan juga untuk membongkarkan kerosakan yang PH buat atas Tabung Haji.

“Entah berapa puluh kali kami tuntut RCI. Tapi masih tidak kesampaian,” tulis ahli Parlimen Pekan itu menerusi laman Facebooknya.

Sebelum ini media melaporkan TH mengalami kerugian selepas PH mengambil alih pentadbiran kerajaan bermula dengan RM68 juta pada 2018 dan meningkat kepada RM245 juta pada 2019 sehingga memaksa mereka menjual pelbagai aset stategik termasuk bangunan hotel dan ladang kelapa sawit.

Dewan Rakyat minggu lalu dimaklumkan biarpun Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sudah mengambil alih aset milik TH bernilai RM19.9 bilion namun syarikat itu mencatatkan kerugian bersih RM9.95 bilion bagi tempoh kewangan berakhir 4 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, secara keseluruhannya UJSB mencatat pendapatan RM234 juta bagi tempoh kewangan berakhir 4 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019 yang diperoleh daripada hasil dividen dan sewaan aset milik syarikat.

“Jumlah pendapatan yang kecil ini tidak dapat menampung kerugian operasi yang disumbangkan antaranya melalui perekodan kerugian nilai saksama ke atas instrumen ekuiti sebanyak RM7.57 bilion dan kerugian rosot nilai sebanyak RM1.77 bilion, sehingga menyebabkan UJSB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM9.95 bilion.

“Sebaliknya pada nilai buku dengan premium (RM19.9 bilion), menjadikan jurang lebihan liabiliti berbanding aset yang terpaksa ditanggung oleh UJSB berjumlah kira-kira RM10.2 bilion,” katanya di Dewan Rakyat minggu lepas.

Beliau menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang meminta menteri kewangan menyatakan apakah prestasi kewangan semasa UJSB yang mengambil alih aset bernilai RM19.9 bilion milik TH serta berapa jumlah yang telah dibayar kepada TH setakat tahun ini.

Shahar bagaimanapun berkata penyata kewangan UJSB disediakan berlandaskan “going concern basis” memandangkan syarikat menerima Surat Sokongan Kewangan (Financial Support Letter) bertarikh 27 Mei 2019 daripada MKD.