- Iklan -
Berita

Pinjaman PTPTN dinaikkan hingga RM8,000 satu semester buat pelajar B40

Ia melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi swasta.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Jumlah itu dinaikkan daripada RM6,800 kepada RM8,000 satu semester bagi peminjam daripada keluarga B40. Gambar: Bernama
Jumlah itu dinaikkan daripada RM6,800 kepada RM8,000 satu semester bagi peminjam daripada keluarga B40. Gambar: Bernama

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju menaikkan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 satu semester bagi peminjam daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kata menterinya, Noraini Ahmad.

Beliau berkata perkara ini bagaimanapun tertakluk kepada simpanan bertakaful pihak IPTS bermula tahun depan.

“Pada masa yang sama, kementerian juga bersetuju untuk meluaskan pemberian wang pendahuluan pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

422,609 daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman manakala selebihnya memilih untuk menangguhkan pembayaran.

“Jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik bagi kedua-dua moratorium ini sebanyak RM1.125 bilion yang memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam.

“Sungguhpun penangguhan diberikan, kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada 42,209 peminjam yang masih meneruskan bayaran balik pinjaman dengan jumlah RM509 juta bagi tempoh April hingga Oktober.”

Menjawab cadangan Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR-Johor Bahru) yang mencadangkan supaya faedah pinjaman dikecualikan dan diskaun bayaran balik diberikan kepada peminjam, Noraini berkata pihaknya akan mengkaji cadangan tersebut secara serius dan pada masa sama memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas dalam jangka masa panjang.

422,609 daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman manakala selebihnya memilih untuk menangguhkan pembayaran.

Katanya pihak kementerian sentiasa memberi keutamaan pelbagai bantuan kepada pelajar bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian menjadi lebih kondusif.

Katanya, kementerian memperuntukan RM41.2 juta bagi bantuan khususnya kepada pelajar daripada kategori keluarga B40 yang amat diperlukan khususnya ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

“Antaranya bantuan sumbangan pelan data dengan peruntukan RM24 juta kepada 320,396 pelajar universiti awam. 225,784 pelajar menerima bantuan kad sim dan 94,612 pelajar pula menerima bantuan berbentuk tunai bagi pembelian pelan data. Kedua, bantuan pemilikan peranti dengan peruntukan RM13.4 juta bantuan ini memberi manfaat 8,965 pelajar universiti awam.

“Ketiga, bantuan tunai RM50 secara one off kepada 76,153 pelajar baru bagi sesi akademik 20/21 yang melibatkan peruntukan RM3.8 juta dan dalam waktu sama kementerian sedang berbincang dengan kementerian kewangan untuk menyediakan bantuan-bantuan lain dalam memberi manfaat kepada semua pelajar termasuk pelajar IPTS.”