- Iklan -
Berita

Jualan nombor pendaftaran kenderaan khas bantu universiti jana pendapatan dalam tempoh krisis

Sasaran utama kepada para pentadbir, pensyarah, pelajar dan alumni universiti berkenaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Universiti Malaya antara salah satu universiti awam yang menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas.
Universiti Malaya antara salah satu universiti awam yang menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas.

Pihak universiti awam kini terpaksa mengguna kaedah kreatif dalam usaha mencari dana selepas pelaksanaan sekatan berkaitan penularan Covid-19 yang menyebabkan hasil daripada aktiviti komersial mereka “dirompak”.

Mereka mengambil kesempatan melalui penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas, yang sememangnya “digilai” rakyat Malaysia.

Beberapa universiti mula mencari jalan menambahkan pendapatan dengan menawarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan siri khas menggunakan akronim universiti, bersandar pada harapan ia mampu menampung kembali pendapatan yang telah hilang akibat krisis Covid-19.

Universiti Malaya (UM), institusi pengajian tinggi tertua di negara ini telah membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas menggunakan akronim “UM” kepada kakitangannya termasuk pentadbir, pensyarah, pegawai, kakitangan dan alumni.

Difaham sistem e-bida sudah tersedia untuk memulakan bidaan, dan hanya menunggu lampu hijau daripada pihak atasan universiti.

Menurut laman sesawang e-bida UM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah meluluskan permohonan menggunakan akronim “UM” pada nombor pendaftaran kenderaan.

“Hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan, pembangunan dan kebajikan pelajar.

“Di samping itu, inisiatif ini akan mendorong lebih ramai alumni UM untuk menyumbang kepada pihak universiti dan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua entiti tersebut,” katanya.

Seorang jurucakap universiti memberitahu MalaysiaNow, satu pasukan khas diwujudkan untuk menyelaras perniagaan baru ini.

Katanya langkah yang diambil itu mampu membantu mengurangkan beban masalah kewangan yang sedang dihadapi pihak universiti sekarang ini.

“Hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan, pembangunan dan kebajikan pelajar.

Bagaimanapun, ketika ini, nombor pendaftaran kenderaan khas itu hanya dibuka kepada komuniti UM sahaja.

“Keutamaan kami adalah untuk kakitangan dan alumni,” tambah jurucakap itu.

MalaysiaNow pada minggu ini melaporkan universiti awam dijangka menghadapi krisis kewangan yang serius kesan daripada pandemik Covid-19, mengakibatkan berlaku penangguhan kelas fizikal dan penutupan kampus sehingga menyebabkan pungutan yuran pelajar pascasiswazah dan ijazah kedoktoran berkurangan, termasuk bayaran dari kolej-kolej kediaman serta latihan bersama agensi luar dan syarikat korporat.

Terdapat 20 universiti awam dan 24 universiti swasta di Malaysia, lebih 30 kolej universiti dan sekurang-kurangnya 10 kampus cawangan universiti luar negara.

Hasil semakan mendapati selain UM, universiti awam lain juga sudah memiliki laman sesawang sendiri bagi tujuan bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas, termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Sementara itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kini menawarkan nombor pendaftaran kenderaan khas menggunakan akronim “UTHM” kepada warga kampusnya dan orang awam.

Iklan yang memamparkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas Universiti Malaya.

Pendapatan lumayan

Penjualan plat pendaftaran kenderaan khas mampu membawa pulangan yang lumayan.

Pada Jun lepas, JPJ cawangan Sabah berjaya mengutip hasil bidaan lebih RM3.4 juta daripada 3,000 pembida bagi nombor pendaftaran “SYG”, singkatan daripada perkataan “Sayang”.

Bidaan tertinggi untuk siri itu adalah “SYG 1”, yang memperoleh sebanyak RM115,000, jumlah tertinggi sepanjang masa untuk Sistem Pembidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian JPJ, atau JPJeBid.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini meluluskan penjualan nombor pendaftaran khas universiti awam bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mengatakan dasar itu akan membolehkan universiti mempunyai dana untuk melaksanakan program mereka.

“Saya harap dasar itu akan diteruskan,” kata pemimpin kanan DAP itu kepada MalaysiaNow.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad menjangkakan hasil “luar biasa” daripada penjualan nombor khas itu, akan disalurkan ke universiti awam.

“Ini akan membantu dengan geran penyelidikan dan juga pembangunan universiti setiap tahun,” katanya kepada MalaysiaNow.