- Iklan -
Berita

PRK Gerik perlu diadakan selari ketetapan Perlembagaan, Umno Perak

Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipatuhi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Hasbullah Osman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik, Perak. Gambar: Umno Perak
Hasbullah Osman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik, Perak. Gambar: Umno Perak

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik perlu diadakan kerana kekosongan kerusi kawasan itu berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang diadakan pada Mei 2018, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad.

Beliau berkata perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipatuhi dan pihaknya tidak mempunyai masalah jika berlaku pertandingan dalam PRK Gerik.

“Kita tiada masalah dari segi persiapan kerana Umno Gerik telah membuat persiapan bagi menghadapi PRU15, jadi ini boleh diguna pakai jika ada PRK Gerik,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri solat jenazah Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman di Masjid Jamek Gerik, hari ini.

Hasbullah, 63, yang juga Ketua Umno Bahagian Gerik meninggal dunia 6.40 petang semalam di Hospital Raub, Pahang, meninggalkan dua balu iaitu Rosmawati Ariffin, 58, dan Zaini Abu Bakar, 29, serta lapan anak berumur dua bulan hingga 34 tahun.

Parlimen Gerik mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu.

Beliau sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temenggor selama dua penggal bermula pada PRU11.

Hasbullah yang dilahirkan di Hospital Gerik pada 17 Feb 1957 memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah sejurus selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (M4P) pada 1979 dan dipinjamkan menjadi setiausaha sulit kepada beberapa timbalan menteri sebelum bersara daripada sektor awam pada 1999.

Sementara itu, Saarani berkata kehilangan Hasbullah sangat dirasai kerana kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang akrab memandangkan pernah bertugas sebagai guru di sekolah sama pada 1982.

“Hasbullah mengajar pada waktu pagi dan saya mengajar pada waktu petang. Saya tinggal di kuarters guru dan Hasbullah yang tinggal dengan ibunya sering datang ke rumah saya.”

Katanya hubungan akrab mereka berterusan hingga ke arena politik apabila Allahyarham Hasbullah kini menjadi timbalannya dalam Badan Perhubungan Umno Negeri.

“Saya menerima berita sedih kematian Hasbullah ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur semalam. Saya sedih kehilangan seorang sahabat dan pembantu, dan sudah tentu kita merinduinya.”