- Iklan -
Berita

Kerajaan bayar RM149 juta kepada pekebun getah, kata menteri

Kerajaan tetap bantu pekebun getah sejak 10 bulan lalu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November. Gambar: AFP
Harga getah SMR20 sudah meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 per kilogram pada November. Gambar: AFP

Bermula Januari hingga Oktober, kerajaan membelanjakan RM149 juta bagi membayar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun getah di seluruh negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan amat prihatin berkaitan isu ketidakstabilan harga getah yang memberikan kesan kepada pendapatan golongan penoreh getah kerana harga getah asli sebagaimana harga komoditi lain bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran di peringkat global.

“Harga getah yang rendah pada awal dan pertengahan tahun ini disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia, permintaan yang rendah dari negara-negara pengguna utama getah asli berikutan ketegangan perdagangan China dan Amerika Syarikat dan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Justeru, kerajaan terus komited untuk memelihara kebajikan golongan pekebun kecil getah dengan melaksanakan langkah-langkah seperti pertama mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil supaya memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Kerajaan juga mewajibkan penggunaan sistem RRIM Niaga bermula 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual oleh pekebun kecil.

“IPG adalah mekanisme sokongan harga ladang dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah Standard Malaysian Rubber (SMR) 20. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, sebanyak RM149 juta dibelanjakan untuk membiayai tuntutan IPG,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris Jusoh (BN-Besut) terdahulu bertanya tentang usaha kementerian dalam mengatasi masalah pendapatan golongan penoreh getah yang berhadapan dengan isu harga komoditi itu yang tidak stabil kebelakangan ini.

Khairuddin berkata kerajaan juga menggalakkan amalan integrasi dalam kalangan pekebun kecil untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

“Kerajaan juga mewajibkan penggunaan sistem RRIM Niaga bermula 1 Januari 2021 bagi memudahkan penyaluran IPG tanpa proses permohonan manual oleh pekebun kecil.

Katanya, tanaman getah boleh diintegrasikan dengan pelbagai jenis tanaman sama ada jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Antara tanaman yang sesuai termasuk pisang, betik, nenas, durian dan buah salak. Selain itu, integrasi ternakan seperti lebah dan kelulut juga berpotensi untuk diusahakan.

“Pengintegrasian yang sistematik dan mengamalkan amalan pertanian baik (Good Agriculture Practices-GAP) membolehkan pekebun kecil mendapat pendapatan sampingan sehingga pokok getah mencapai usia 30 tahun.”

Katanya kerajaan juga menambah baik pelaksanaan mekanisme penetapan harga di ladang dengan memperkasa peranan koperasi sebagai pembeli getah.

“Menerusi langkah ini, lapisan pembeli akan dikurangkan dan seterusnya dapat meningkatkan harga pembelian getah di peringkat ladang (farm gate price).

“Sehingga kini, 20 koperasi terlibat dalam urus niaga getah dan menawarkan harga ‘cuplump’ pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain.”