- Iklan -
Berita

Pengurusan kes kehadiran pihak ketiga untuk tuntut harta Najib, 17 lain ditetapkan 11 November

Sekiranya tiada mana-mana pihak ketiga tampil membuat tuntutan, mahkamah akan meneruskan kes tersebut dengan menetapkan tarikh perbicaraan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Pengurusan kes bagi kehadiran pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta 16 pihak lain, ditetapkan 11 November ini.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata, sekiranya tiada mana-mana pihak ketiga tampil membuat tuntutan, mahkamah akan meneruskan kes tersebut dengan menetapkan tarikh perbicaraan.

Pengurusan kes yang sebelum ini ditetapkan hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dilapangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November.

Mengulas lanjut, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan sebelum ini meminda notis usul permohonan pelucutan hak terhadap harta-harta tersebut berikutan terdapat pembetulan dalam notis usul asal, dan berikutan itu mahkamah sekali lagi telah mengeluarkan warta notis yang ditandatangani oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi kehadiran pihak ketiga berkepentingan ke mahkamah.

“Pada 26 Oktober lepas sepatutnya sebutan untuk kehadiran mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta sitaan kes ini (berdasarkan notis usul terpinda). Memandangkan PKPB, tarikh ditunda pada hari ini dan sebutan hari ini dilapangkan kepada 11 November,” katanya menerusi Whatsapp.

Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membolehkan pihak ketiga hadir ke mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Rosmah dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.