- Iklan -
Berita

Buang pemimpin Umno sokong pembangkang, kata Ku Li selepas surat Zahid-Najib bocor

Razaleigh berkata, tidak wajar bagi pemimpin Umno mendahulukan kepentingan pihak lawan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah. Gambar: Facebook
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah. Gambar: Facebook

Selepas terdedahnya berita mengenai surat Zahid Hamidi dan Najib Razak menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengatakan mereka boleh dibuang daripada parti itu.

Razaleigh berkata, tidak wajar bagi pemimpin Umno mendahulukan kepentingan pihak lawan sedangkan parti itu dengan jelas tidak bersetuju dengan dasar mereka.

“Mana-mana ahli Umno yang mendahulukan kepentingan parti politik lain, boleh dikenakan tindakan displin, termasuk dibuang parti,” katanya yang juga dikenali sebagai Ku Li, seperti dilaporkan Astro Awani.

“Nak mendahulukan pimpinan parti lain. Mengapa begitu? Jadi kalau inilah sikap mereka sebenar, mereka patut diambil tindakan, sampai boleh dibuang daripada parti kalau tidak memperjuangkan kepentingan parti”.

MalaysiaNow pada Jumaat membuat pendedahan mengenai surat sokongan Zahid-Najib kepada Yang di Pertuan Agong bagi menyokong presiden PKR untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua pemimpin Umno itu sehingga ke hari ini masih berdiam diri mengenai perkara itu, sebaliknya beberapa penafian dilakukan oleh pegawai dan penyokong mereka.

“Bagi saya, sebagaimana yang disuarakan oleh ramai ahli-ahli Umno di peringkat bawah, sikap yang ditunjuk oleh pimpinan itu seolah-olah dia tidak hormati perjuangan Umno,” tambah Ku Li yang juga ahli Parlimen Gua Musang.

Beliau berkata, pada masa kini, terpulang kepada ahli Umno yang mempunyai kesedaran untuk menegur pimpinan Umno, terutamanya dalam kembali kepada landasan perjuangan sebenar.

“Apakah pimpinan daripada parti pembangkang, mesti didahulukan, dan disokong oleh kita?(Sedangkan kita tak bersetuju dengan dasar-dasar dia.

“Ini terpulang kepada mereka mempunyai sikap yang kuat memperjuangkan perjuangan parti itu sendiri. Kalau mereka fikir kita tidak mempunyai haluan, sebagaimana kehendak dan tuntutan parti dan orang Melayu seluruhnya, maka terpulang kepada ahli-ahli yang sedar, untuk bertindak,” katanya.