- Iklan -
Berita

Penutupan Malaysia Airlines sebabkan ‘mudarat lebih besar’, kata bekas pegawai

Seluruh ekosistem akan terjejas teruk sekiranya syarikat penerbangan negara itu ditutup.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia Airlines beroperasi pada paras minimum sejak enam tahun lalu selepas melakukan penstrukturan semula secara besar-besaran.
Malaysia Airlines beroperasi pada paras minimum sejak enam tahun lalu selepas melakukan penstrukturan semula secara besar-besaran.

Sebarang tindakan menutup Malaysia Airlines akan membawa kesan buruk kepada ekosistem syarikat itu di seluruh dunia, kata seorang bekas eksekutif kanan syarikat penerbangan nasional itu.

“Kita bukan bercakap mengenai jumlah kecil. Kita berbicara hal bagaimana menyelamatkan sebuah syarikat penerbangan,” kata bekas pengarah kewangan yang mempunyai 20 tahun pengalaman dengan syarikat penerbangan itu kepada MalaysiaNow.

Kenyataan itu hadir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu berdepan penutupan sekiranya pihak pengurusan gagal mendapat sokongan syarikat pajakan untuk penstrukturan semula.

Dana daripada Khazanah Nasional berjumlah RM575.4 juta dikatakan hampir habis, dan hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun ini sahaja.

Perbelanjaan Malaysia Airlines dikatakan mencecah RM364.3 juta setiap bulan, dana Khazanah Nasional bagi memastikan syarikat itu terus kekal beroperasi sejak penstrukturan semula besar-besaran selepas tragedi MH370 dan MH17 pada tahun 2014.

Penstrukturan semula itu memastikan syarikat Malaysia Airlines beroperasi pada paras minimum sejak enam tahun kebelakangan ini.

Bekas eksekutif itu berkata menutup Malaysia Airlimes bakal “mengundang masalah sosio-ekonomi yang lebih besar”.

“Saya yakin Khazanah tidak memiliki dana yang mencukupi, namun pasti ada keseimbangan antara kos kewangan dan pertimbangan lain,” katanya, sambil menambah pemegang taruh enggan mengambil risiko disebabkan kekurangan pulangan masa depan dalam Malaysia Airlines menjadi alasan untuk Khazanah tidak mengeluarkan dana tambahan.

Dana daripada Khazanah Nasional berjumlah RM575.4 juta dikatakan hampir habis, dan hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun ini sahaja.

Keyakinan Malaysia Airlines kepada bantuan kerajaan juga samar-samar.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata kerajaan tidak akan menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu ataupun mana-mana syarikat penerbangan lain yang mengalami impak akibat Covid-19 dalam industri itu.

Namun, di sebalik kesan penularan pandemik Covid-19, keengganan kerajaan – dan Khazanah untuk membantu syarikat penerbangan terus beroperasi – adalah sesuatu yang difahami.

Syarikat itu mempunyai 12,000 pekerja di 53 negara.

Namun, ia bukan sekadar untuk menyelamatkan kakitangan, kata bekas eksekutif kanan itu.

“Bagaimana dengan pembekal-pembekal? Terdapat begitu ramai. Ia bukan satu keputusan mudah. Syarikat penerbangan itu menyokong keseluruhan ekosistem pemegang taruh.”

Katanya menyelamatkan syarikat seperti Malaysia Airlines perlu mengambil kira aspek sosial.

Beliau menggambarkan satu senario.

“Malaysia bergantung kepada sektor pelancongan, secara ammnya; jika kita bergantung kepada kemasukan pelancong melalui syarikat penerbangan lain, mereka boleh menghentikan perkhidmatan itu pada bila-bila masa sahaja.

“Kita tidak boleh bergantung kepada syarikat penerbangan lain, kerana mereka boleh tidak pedulikan kita pada bila-bila masa sahaja”.

Dan kemudian kesan terhadap lapangan terbang di seluruh negara, yang boleh berubah menjadi projek gajah putih jika syarikat penerbangan utama negara ditutup.

“Ejen-ejen pelancongan dan perkhidmatan kargo gulung tikar. Pembekal makanan besar dan kecil terpaksa mengecilkan operasi. Kita bercakap mengenai jumlah angka besar kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan pekerja.”