- Iklan -
Berita

SPR tetapkan PRK Batu Sapi pada 5 Disember

Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dan isteri Siti Rohaya Sarman menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu selepas selesai melalui proses ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dan isteri Siti Rohaya Sarman menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu selepas selesai melalui proses ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi pada sidang media di Menara SPR di Putrajaya hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Liew yang mewakili Warisan berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

PRK Batu Sapi merupakan PRK ke-13 selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.

Selain 12 PRK sebelum ini, turut diadakan selepas PRU14 ialah Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan lepas. Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan di Sabah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah berkuat kuasa hari ini sehingga 26 Oktober ini.

Sebelum ini, Ghani dilaporkan berkata PRK Batu Sapi perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut.

Ghani berkata SPR tidak membenarkan aktiviti ziarah dan “walkabout” oleh calon atau penyokong parti sempena pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata calon boleh berkempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial dan pengedaran risalah kempen secara pos, untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

SPR, katanya menyediakan satu Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya selaras dengan Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Secara dasarnya SPR mencadangkan tidak ada kempen secara terbuka, kempen secara berkumpulan dan kempen dari rumah ke rumah. SPR mencadangkan orang ramai berkempen melalui media sosial,” katanya.

Ghani berkata tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari bermula daripada pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga 11.59 malam Jumaat, 4 Disember.

Beliau berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Batu Sapi ialah di Auditorium, ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan manakala pusat pengiraan undi awal dan pusat pengiraan undi pos di Dewan Jati, ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan.

Timbalan Presiden I, Majlis Perbandaran Sandakan Faridah Giau dilantik sebagai pengurus pilihan raya PRK Batu Sapi dan beliau akan dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus.

Ghani berkata PRK Batu Sapi membabitkan kos hampir RM6 juta dengan 837 orang petugas, 13 buah pusat mengundi dengan 67 tempat mengundi (saluran).

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Batu Sapi adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan ST2/2020 yang dikemas kini sehingga 6 Okt 2020.

DPPR tersebut mengandungi 32,962 pengundi yang terdiri daripada 31,152 orang pengundi biasa, 672 orang tentera serta pasangan dan 1,138 orang polis serta pasangan polis Pasukan Gerak Am.