- Iklan -
Berita

Satu daripada 10 orang mungkin dijangkiti Covid-19, kata WHO

Dunia kini menuju waktu sukar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perlumbaan mencari vaksin dalam kalangan negara-negara di dunia masih diteruskan sehingga ia ditemui. Gambar: AP
Perlumbaan mencari vaksin dalam kalangan negara-negara di dunia masih diteruskan sehingga ia ditemui. Gambar: AP

Dianggarkan satu daripada 10 orang mungkin dijangkiti virus Covid-19, menyebabkan sebahagian besar penduduk dunia terdedah terhadap kesan jangkitan itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar kecemasan WHO Mike Ryan ketika berucap kepada Lembaga Eksekutif badan kesihatan dunia itu, mengatakan Amerika Syarikat (AS) membuat tuduhan kecil terhadap China, apa yang disebutnya sebagai “kegagalan” memberikan maklumat betul dan tepat pada waktunya mengenai pandemik berkenaan.

Tetapi Zhang Yang daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, berkata: “China selalu telus dan bertanggungjawab memenuhi tanggungjawab antarabangsa kami.” China mengekalkan hubungan rapat dengan semua peringkat agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tambahnya.

Ryan berkata pandemik memuncak di kawasan Asia Tenggara, dengan kes dan kematian meningkat di beberapa bahagian Eropah dan wilayah timur Mediterranian.

“Anggaran kami sekarang ialah sekitar 10 peratus penduduk global mungkin dijangkiti virus ini. Ia berbeza-beza bergantung kepada negara, berbeza dari bandar ke luar bandar, bergantung kepada kelompok. Tetapi menunjukkan sebahagian besar dunia tetap berisiko,” kata Ryan.

“Kita sedang menuju ke waktu yang sukar. Penyakit ini terus merebak,” katanya.

WHO dan pakar lain berkata virus yang dipercayai berpunca di pasar makanan di pusat bandar Wuhan di China penghujung tahun lalu itu, berasal daripada haiwan.

WHO telah menyerahkan senarai pakar untuk mengambil bahagian dalam misi antarabangsa ke China bagi menyiasat asal usulnya, untuk dipertimbangkan oleh pihak berkuasa China, kata Ryan, tanpa memperincikannya.

Penolong Setiausaha Kesihatan AS Brett Giroir menyatakan sangat penting untuk 194 negara anggota WHO menerima “maklumat terkini secara berkala dan tepat pada masanya, termasuk syarat rujukan untuk panel ini atau untuk misi lapangan, supaya kita semua boleh terlibat dengan proses ini dan yakin dengan hasilnya ”.

Jerman, bagi pihak Kesatuan Eropah (EU), mengatakan misi pakar perlu dikerahkan segera, dengan Australia juga menyokong siasatan segera itu.

Sementara itu, Alexandra Dronova, Timbalan Menteri Kesihatan Rusia, meminta penilaian terhadap kesan undang-undang dan kewangan pentadbiran Trump yang mengumumkan pengunduran AS dari WHO pada Julai depan.

AS tidak akan membayar hutangnya kepada WHO berjumlah RM33.1 juta, sebaliknya akan mengalihkan wang itu untuk membantu membayar bil PBB di New York, kata seorang pegawai AS pada 2 September.