- Iklan -
Berita

2 ahli perniagaan rugi RM338,000, ditipu untuk bekal air mineral PRN Sabah

Beliau diminta membekalkan 20,000 kotak air mineral bernilai RM288,000 bagi kegunaan 31 kawasan PRN di Sabah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kes dilaporkan berlaku ketika PRN Sabah baru-baru ini
Kes dilaporkan berlaku ketika PRN Sabah baru-baru ini

Dua ahli perniagaan lelaki mengalami kerugian RM338,000 selepas ditipu satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya bagi projek pembekalan air mineral untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata seorang daripada ahli perniagaan itu yang berasal dari Selangor dihubungi ahli sindiket pada 2 September lepas berhubung tawaran projek dan memintanya memasukkan wang RM50,000 sebagai cagaran.

Katanya ahli perniagaan berumur 54 tahun datang ke Kuala Kangsar pada 21 September untuk bertemu rakannya berumur 40 tahun sebelum memasukkan wang yang diminta suspek di Maybank Kuala Kangsar.

“Suspek menghubungi ahli perniagaan itu dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta lagi cagaran sebanyak RM100,000 di samping meminta dia membekalkan 20,000 kotak air mineral bernilai RM288,000 bagi kegunaan 31 kawasan PRN di Sabah.

“Ahli perniagaan itu menghantar seorang pekerjanya ke Kota Kinabalu, Sabah untuk membuat pembelian 20,000 kotak air mineral bernilai RM288,000 pada 22 September lepas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di Kuala Kangsar, hari ini.

Omar berkata suspek kemudiannya menghubungi ahli perniagaan itu dan memberitahu dia akan mendapat balik tuntutan wang bagi projek pembekalan air mineral pada 29 September lepas.

“Ahli perniagaan itu bagaimanapun menyedari dia ditipu setelah suspek tidak menjawab panggilannya, dan dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar pada pukul 1.30 tengah hari, semalam,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut Omar modus operandi kumpulan itu adalah dengan menawarkan kontrak dan projek kerajaan kepada ahli perniagaan tertentu, selain menawarkan gelaran “Datuk”.