- Iklan -
Berita

Kawalan rentas daerah di Sabah mulai 3 Oktober

Peningkatan kes mendadak di Sabah menyebabkan Kawalan Rentas Daerah dikuatkuasakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra. Gambar: Bernama

Kerajaan akan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 hingga 16 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata perkhidmatan perlu seperti bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.

Katanya sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menyiarkan nama individu yang positif Covid-19 kerana perkara tersebut tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, dan mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti wabak berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Begitu juga dengan arahan kuarantin 14 hari yang hanya KKM sahaja boleh mengeluarkan surat pengesahan kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu kerana perkara itu boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 98 individu kerana ingkar arahan PKP semalam dengan 95 dikompaun dan tiga lagi direman, melibatkan kesalahan seperti penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal lunas caj kuarantin.

Menerusi Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara, beliau berkata 59 pendatang tanpa izin ditangkap, selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot turut dirampas.

Mengenai kuarantin wajib, 38,321 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga 30 Sept dan ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis termasuk institut latihan awam (ILA) dan institusi pengajian swasta.

Katanya daripada jumlah itu, 8,698 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 106 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan, selain 29,517 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.