- Iklan -
Berita

Banyak duit diguna ‘jatuhkan’ Warisan di Sabah, kata Dr Mahathir

Menurut Dr Mahathir, beliau dimaklumkan ada pengundi yang dibayar beribu ringgit.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Former prime minister Dr Mahathir Mohamad.
Former prime minister Dr Mahathir Mohamad.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu disebabkan menggunakan “duit yang banyak”, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sepatutnya Warisan Plus pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal yang memenangi PRN tersebut.

“Dan kita dapati , Warisan yang terbesar lah. Tapi saya difahamkan kegunaan duit yang banyak.

“Ada yang cerita la, saya tak boleh nak prove (buktikan), satu orang pengundi dapat sampai seribu ringgit,” kata Dr Mahathir dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya hari ini.

PRN Sabah pada Sabtu menyaksikan GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara Warisan Plus yang dianggotai Warisan, DAP, Amanah, PKR dan Upko hanya mendapat 32 kerusi DUN. Manakala tiga lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Dr Mahathir berkata, Shafie membubarkan DUN selepas terdapat percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Warisan dengan cara membeli wakil rakyat.

“Shafie bubarkan Dewan Undangan Negeri dan adakan pilihan raya untuk serah kepada rakyat.

“Tetapi apabila serah kepada rakyat, rakyat ada yang diguna, yang terpengaruh dengan wang, ye la kita nak prove (buktikan) cukup susah.

“Umpamanya di Slim (Pilihan Raya Kecil Slim) di sini, kita dapati bahawa mereka pura-pura angkut pengundi. Hantar bas, hantar van. Dalam van tu, bagi duit,” katanya yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Menurut Dr Mahathir, daripada maklumat diterimanya, pengundi yang diberikan wang perlu membuktikan kepada pemberi mereka keluar mengundi,

“Lepas tu ada pula yang ambil gambar. Bila dia dah pangkah, kemudian guna telefon bimbit ambil gambar, tunjuk jari dah hitam.

“Esok, bila dah keluar, tunjuk kepada mereka, dapat duit lagi. Ini yang berlaku. Kita sudah sampai kepada satu tahap yang mana kerajaan boleh dibeli,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, di Malaysia pada hari ini pilihan raya sudah tidak lagi “bermakna”.

“Orang yang kalah jadi kerajaan. Ini yang berlaku di peringkat pusat dan mungkin juga berlaku di Sabah.”

Beliau berkata, kerajaan GRS di Sabah yang dipimpin Hajiji Noor tidak begitu stabil kerana majoriti dimenanginya tidak begitu besar.

“Seperti yang pusat (kerajaan pusat) ni basically dia ada cuma lebih dua undi sahaja.

“Tiga orang tak sedap perut tak boleh hadir, jatuh kerajaan,” katanya.