- Iklan -
Berita

Zahid tak puas hati tak dapat jadi PM, kata Tajuddin

Menurut Tajuddin, ia menjadi punca mengapa kluster mahkamah Umno diketuai Zahid mengasak kerajaan dalam hal-hal tertentu, terutama dalam soal pembubaran Parlimen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media di Eastin Hotel, Petaling Jaya hari ini.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media di Eastin Hotel, Petaling Jaya hari ini.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno (MKT), Tajuddin Abd Rahman mendedahkan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan kerana tidak berjaya menjadi perdana menteri semasa krisis politik negara tahun lalu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, itu sebabnya mengapa kluster mahkamah Umno yang diketuai Zahid itu dilihat mengasak kerajaan dalam hal-hal tertentu, terutamanya dalam soal pembubaran Parlimen.

“Zahid tak puas hati kerana dia tak dapat jawatan itu (perdana menteri).

“Bukan untuk parti sangat, yang dia perjuangkan, ialah kembali berkuasa supaya boleh selesaikan kes-kes dia,” katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Menurut Tajuddin, Zahid turut mengadu kepadanya mengenai keengganan kerajaan baru yang dibentuk selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) untuk membantunya dalam kes-kes mahkamah berkait rasuah.

Ketika ini, perbicaraan Zahid sedang berlangsung berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau juga berdepan 40 lagi pertuduhan berhubung kes melibatkan sistem visa luar negara (VLN).

Umno juga katanya berbelah-bahagi dalam menyokong pencalonan Ismail Sabri Yaakob selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, walaupun Bersatu dan PAS menyatakan sokongan penuh kepada ahli Parlimen Bera itu.

Ini kerana Zahid memujuk ahli-ahli Parlimen Umno untuk menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Zahid juga didakwa membawa beberapa nama kepada istana termasuklah namanya sendiri dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, tidak timbul soal mahukan pilihan raya awal kerana Umno sudah kembali menjadi tunjang kerajaan apabila Ismail dilantik menjadi timbalan perdana menteri sebelum menjadi perdana menteri.

Beliau turut mendakwa MKT Umno tidak mempunyai taring dalam menjaga kepentingan parti Melayu terbesar itu.

Sebaliknya, katanya MKT Umno hanya menurut kehendak Zahid.