- Iklan -
Berita

Thai AirAsia X fail permohonan muflis

Syarikat tambang murah itu berkata objektif permohonan itu adalah untuk merombak proses pentadbiran syarikat dan menstruktur semula hutang sementara operasinya akan diteruskan seperti biasa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Thai AirAsia X berkata pemfailan permohonan muflis itu adalah untuk usaha pemulihan syarikat dan tidak menjejaskan penumpang, dengan operasi diteruskan seperti biasa.
Thai AirAsia X berkata pemfailan permohonan muflis itu adalah untuk usaha pemulihan syarikat dan tidak menjejaskan penumpang, dengan operasi diteruskan seperti biasa.

Syarikat penerbangan tambang murah dan jarak jauh Thai AirAsia X bersedia untuk memulakan proses pemulihan selepas permohonan bagi perlindungan kebankrapan diterima oleh mahkamah Thailand.

Dalam kenyataan 19 Mei, syarikat itu berkata objektifnya ketika ini adalah untuk merombak proses pentadbiran syarikat dan menstruktur semula hutang yang ditanggungnya, sambil menambah proses itu tidak akan menjejaskan penumpang kerana operasi akan diteruskan seperti biasa.

Ia juga berkata pemfailan permohonan untuk pemulihan syarikat itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada Thai AirAsia atau Asia Aviation Plc, yang merupakan entiti berbeza dengan “operasi dan laluan” berasingan.

“AirAsia X Thai sudah memasuki proses pemulihan pada masa yang sesuai dengan pemulihan industri pelancongan dan negara mula dibuka semula,” kata Ketua Eksekutif Thai AirAsia X Patima Jeerapaet.

Beliau turut menambah, keputusan supaya syarikat itu menjalani pemulihan adalah bagi mempertingkatkan proses pentadbiran demi kepentingan perniagaannya, terutama dari aspek pengurusan hutang syarikat yang terkesan akibat pandemik sejak dua tahun lalu.

Patima turut menyuarakan keyakinannya bahawa pihak berkepentingan dalam syarikat penerbangan itu akan menyokong langkah yang diambil tersebut.

Permohonan perlindungan kebankrapan Thai AirAsia dikemukakan pada 17 Mei lalu dan diterima oleh Mahkamah Kebankrapan Pusat negara itu pada 18 Mei.

Syarikat itu juga sedang berusaha untuk memperkenalkan penerbangannya ke Korea Selatan dan Jepun mulai Jun depan selain turut merancang meluaskan operasi termasuk penerbangan yang lebih kerap dan laluan baru penerbangan selaras dengan permintaan.